Cari:
Taman Peacock: Merak Bercanda dengan Warna-warninya
2015-06-16 12:28:39 CRI Cetak

(Oleh Razali Che Mat, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP)

Selepas sarapan pagi di restoran makanan halal di pekan Jiayuguan, kami dibawa ke Taman Peacock untuk melihat kecantikan burung-burung Merak dan pameran serta lukisan tentang kehidupan Burung Merak. Ironinya, taman ini bukan kawasannya sahaja besar, tetapi setiba sahaja kami di pintu gerbang taman ini, kami disambut dengan suara burung Merak yang bersahut-sahutan dan bersilih ganti serta mengembangkan bulu dan kepaknya yang berwarna-warni. Menarik dan teruja perasaan kami melihat gelagat si burung Merak ini dan ada antara kami yang terleka merakam gelagat si Merak dengan lensa sehinggakan kami dipanggil beberapa kali oleh pemandu pelawat ini untuk melawat beberapa tempat di taman ini.

Pengunjung bukan sahaja diserikan dengan gelagat si Merak, akan tetapi dengan gabungan reka bentuk moden dan klasik, menjadikan taman ini kelihatan cantik dan nyaman pula udaranya. Saya juga amat terpesona dengan pelbagai reaksi replika Merak yang diletakkan di sisi bukit dan dikelilingi pepohon yang malar segar kehijauannya. Biarpun pada waktu ini, Musim Panas, namun sesekali saya terasa kedinginan angin yang bertiup dari Gunung Hitam (Black Mountain) dan Qilian yang bersalut salji di puncaknya.

Segera kami memanjat bukit di taman ini, untuk melihat saujana pemandangan di Kota Jiayuguan dan panorama Gunung Hitam dan Qilian yang masih bersalut salji. Tanpa berlengah, sekali lagi aktiviti lensa menjadi hobi kami. Ada antara kami turut berselfie berlatarkan keindahan panorama kedua-dua gunung ini, walaupun jaraknya agak jauh tetapi tubuh dan wajahnya jelas dipandang. Sekali lagi, kami ditegur oleh pemandu pelawat taman ini untuk bergerak dari bukit ini untuk melawat aktiviti burung Merak di tasik. Tebal juga muka kami dibuatnya dek beberapa kali teguran pemandu pelawat yang tegal dengan masanya.

1 2
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China