Sebelum kami meninggalkan taman ini, aktiviti lawatan terakhir ialah melihat sekumpulan burung Merak meniti jambatan di tasik buatan dan kemudian burung Merak akan terbang menuju ke pondoknya. Sekali lagi, kami ditegur supaya tidak berjalan-jalan di sepanjang jambatan di dalam tasik ini. Pada mulanya, ada antara kami berasa kecewa kerana tidak dibenarkan melintasi titian jambatan kayu di tasik ini, akan tetapi setelah diberi penerangan bahawa ada aktiviti sekumpulan Merak yang akan meniti jambatan bersama-sama penjaganya. Kemudian di tengah-tengah perjalanan, burung Merak ini bergilir-gilir terbang melintasi tasik hingga di dahan pokok atau pagar serta mengembangkan ekor dan sayap sebagai tanda kemegahannya kerana berjaya melintasi tasik ini. Apa tidaknya, pengunjung turut bertepuk tangan atas tanda kejayaan si Merak.
Sesungguhnya, pemuliharaan Burung Merak di taman ini patut dipuji dan digalakkan bagi mengelakkan kepupusan spesis burung Merak yang cantik dan sesekali kelihatan sombong dek kepelbagaian warna-warni yang dimilikinya. Namun, aku terpesona dek kesombongan Merak dengan bercanda warna-warninya yang menghilangkan kepenatan kembaraku di sini.