Pastinya, kita akan terlupa sebentar tentang kisah misteri Yardang kota berhantu kerana leka dengan ciptaan Tuhan yang indah di padang pasir yang luas saujauna memandang. Dan, kita juga akan tidak mendengar suara hantu tetapi apa yang kita dengar adalah tiupan angin yang berdesir dan berlaga daripada pelbagai arah mengenai dinding bungkah bukit pasir tersebut.
Jika cuacanya kurang baik, ribut kencang akan melanda di padang pasir ini. Hablur-hablur kecil pasir mungkin boleh terkena mata kita, seandainya kita tidak membawa peralatan penutup muka dan cermin mata. Kita juga dinasihatkan membawa topi atau tudung bagi melindungi bahang terikan matahari.
Sesungguhnya, saya cukup teruja dan terpesona kerana dapat menimba pengalaman merasai suasana dan panorama di padang pasir ini. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki saya di padang pasir, seperti Taman Geologi Negara Yardang. Teruja emosi saya di sini hingga saya terlupa akan misteri Yardang kota berhantu.