20 haribulan Jun setiap tahun ditetapkan sebagai Hari Pelarian Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) pada tahun 2001. Sempena sambutan Hari Pelarian Sedunia Ke-10 yang disambut pada tahun ini, wartawan CRI telah mengadakan kunjungan ke kem pelarian di sempadan Thailand-Myanmar baru-baru ini.
Ramai pelarian warga Myanmar melarikan diri ke beberapa provinsi di kawasan sempadan Thailand-Myanmar akibat peperangan dalam negeri dan pergolakan politik di Myanmar sejak tahun 1984. Menurut statistik, jumlah pelarian yang telah mendaftarkan diri di kawasan sempadan kini melebihi 100 ribu orang. Namun, pada hakikatnya, jumlah pelarian dipercayai lebih ramai daripada angka itu dan dijangka mencatat 150 ribu orang. Mae Sot di bahagian utara Thailand merupakan tempat yang menerima pelarian paling ramai, iaitu hampir separuh daripada semua pelarian warga Myanmar.
Dalam tempoh 26 tahun yang lalu, kem-kem pelarian di Mae Sot telah menerima bantuan kemanusiaan daripada banyak pertutubhan bukan kerajaan dari seluruh dunia. Kini terdapat 18 buah pertubuhan yang memberikan bantuan daripada pelbagai aspek kepada kem pelarian tersebut, terutamanya memberikan makanan, memperbaiki rumah yang rosak, menjaga keadaan persekitaran serta menyediakan perkhidmatan pendidikan. Kerja-kerja bantuan tersebut kini diselaraskan oleh Persatuan Kawasan Sempadan Thailand-Myanmar, iaitu pertubuhan pertama yang memberikan bantuan kemanusiaan kepada kem pelarian di Mae Sot. Ketua Eksekutif yang juga penaja kepada Persatuan Kawasan Sempadan Thailand-Myanmar (TBBC), Jack Dunford pernah menyaksikan penubuhan kem pelarian yang pertama di Mae Sot. Katanya: "Kami mula memberikan bantuan kemanusiaan sejak kem pelarian pertama ditubuhkan di sini pada tahun 1984, termasuk memberikan makanan, pendidikan dan perkhidmatan perubatan. Kami menghadapi banyak kesukaran ketika melaksanakan program bantuan kerana pelarian tidak dibenarkan untuk keluar dari kem pelarian. Sekarang, kami berusaha membantu pelarian mencari rezeki secara berdikari dan meminta kerajaan Thailand supaya memberikan lebih banyak kebebasan kepada mereka."
Ketika menyebut tentang kesukaran yang dihadapi oleh kem-kem pelarian, Jack Dunford memberitahu wartawan bahawa makanan dan kewangan yang tidak mencukupi tetap merupakan masalah yang utama.
Katanya: "Kami sentiasa menghadapi masalah kekurangan makanan akibat harga makanan yang terus meningkat dan jumlah pelarian yang semakin bertambah ramai. Oleh itu, kami perlu menghadapi cabaran iaitu kekurangan modal. Bagaimanapun, kami akan berusaha dengan lebih gigih dalam mencari wang untuk membeli makanan."
Selain keperluan hidup, kanak-kanak di kem pelarian juga menghadapi masalah untuk mendapatkan menpendidikan. Kumpulan Perkhidmatan Damai di Seberang Laut Taipei(TOPS) ialah satu-satunya pertubuhan orang Cina yang bertugas memberikan bantuan kemanusiaan kepada kem pelarian di Mae Sot. Usaha utama mereka adalah memberikan pendidikan kepada kanak-kanak.








