Ekspo China-ASEAN Ke-7 selama 5 hari kini sedang berlangsung di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China. Penganjuran ekspo ini merupakan satu langkah penting yang dilaksanakan oleh China dan negara-negara ASEAN untuk merapatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan, khususnya menjayakan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA).
Hubungan ekonomi antara China dengan ASEAN meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi apabila CAFTA ditubuhkan pada awal tahun ini. Dalam tempoh 8 bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan dua hala China-ASEAN telah mencatat angka 185.3 bilion dolar Amerika, meningkat 47% berbanding dengan masa yang sama tahun lalu.
Malaysia antara 6 buah negara ASEAN yang mempunyai ruang pameran sendiri dalam Ekspo China-ASEAN Ke-7. Sebanyak lebih 80 buah syarikat Malaysia menyertai ekspo ini untuk mempromosi produk masing-masing. Antara barangan Malaysia yang dipamerkan dalam ekspo ini, termasuk makanan, barangan elektronik untuk kegunaan harian, perabot, motosikal, barangan kemas dan produk perkhidmatan. Daripadanya, makanan dan minuman yang bercita rasa asli Malaysia mendapat sambutan yang amat baik dalam ekspo tersebu, hingga gerai-gerai pameran tersebut sentiasa dibanjiri oleh para pelanggan.
Encik Zaini Md Yasin ialah Ketua Pengurus Syarikat Miraxis, salah sebuah syarikat pengeluar minuman di Kuala Lumpur. Beliau yang pertama kali menyertai Ekspo China-ASEAN meletakkan harapan yang besar kepada ekspo ini untuk memasarkan produk syarikatnya dan mencari rakan kerjasama di China. Menurut beliau, Sejak hari pertama ekspo ini, produknya sudah mendapat sambutan yang cukup baik. Katanya: "Barang yang kami bawa untuk dipromosi ke China ialah 'Sparkling Tongkat Ali'. Sebelum ini, biasanya orang hanya tahu Tongkat Ali terdapat dalam kopi dan teh. Tetapi, produk yang kami bawa ke ekspo ini adalah sejenis minuman bertenaga yang diperkaya dengan vitamin. Ini adalah kali pertama kami datang ke China. Kami tahu China mempunyai pasaran yang amat besat, tapi kami tidak tahu bagaimana menjual produk kami di sini. Oleh itu, kami ingin mencari ejen tempatan untuk menjualkan produk kami di China. Pada hari pertama ekspo ini sahaja, sudah ada lebih kurang 10 buah syarikat China dari Beijing dan Shanghai yang menunjukkan minat mereka kepada produk kami. Menurut mereka, produk kami boleh dijual di mana-mana tempat di China."
Selain itu, terdapat juga ramai usahawan Malaysia yang bukan pertama kali menyertai Ekspo China-ASEAN. Bagi Encik Sim Poo Weei, Ketua Pengarah Syarikat Amelie Collections, iaitu sebuah syarikat pembuatan barang kemas, ini adalah kali ketiga bagi beliau menyertai ekspo ini. Beliau berkata: "Penganjuran ekspo ini semakin baik. Ini terbukti dengan jumlah kedatangan pengunjung yang semakin meningkat. Ekspo ini memudahkan produk-produk negara ASEAN dipromosi ke pasaran China. Dalam ekspo pada tahun-tahun sebelum ini, kami telah mencapai hasil yang cukup memuaskan. Hari ini ialah hari pertama ekspo ini berlangsung, namun jumlah jualan barangan kami telah mencapai separuh daripada seluruh jualan kami dalam ekspo pada tahun lalu. Saya pasti akan menyertai ekspo ini setiap tahun."