Di Pusat Kovensyen dan Pameran Antarabangsa Nanning, iaitu tempat berlangsungnya Ekspo China-ASEAN ini, sebanyak 4,600 buah gerai pameran telah ditawarkan untuk mempamerkan produk-produk dari China dan negara ASEAN. Selain daripada pameran produk, 11 buah bandar dari China dan negara-negara ASEAN telah dipilih sebagai "bandar mempesonakan" untuk dipromosi dalam Ekspo China-ASEAN Ke-7 ini. Bandar Melaka, Malaysiaa dipilih sebagai "bandar mempesonakan" kali ini. Kini, Melaka sudah menjadi salah sebuah destinasi pelancongan yang tidak asing lagi bagi pelancong China. Konsul Pelancongan dari Konsulat Malaysia di Guangzhou, Encik M. Wahid berkata: "Melaka ialah sebuah bandar yang bersejarah. Bandar ini juga terkenal dengan banyak tapak peninggalan sejarah yang membuktikan hubungan antara China dengan Malaysia, seperti Perigi Hang Li Poh dan Bukit Cina. Inilah sebabnya kami memilih Melaka sebagai 'bandar mempesonakan" untuk dipromosi dalam ekspo ini. Sekarang, sudah ada penerbangan langsung yang menghubungkan Nanning dengan Malaysia. Penerbangan ini disediakan oleh Syarikat Penerbangan Shenzhen, China sebanyak empat kali seminggu. Hal ini juga memberikan peluang yang amat baik untuk kami mempromosi Malaysia sebagai tarikan pelancongan kepada pelancong di Guangxi. Jumlah pelancong dari China ke Malaysia semakin meningkat pada tahun-tahun kebelakangan ini. Sebagai contoh, jumlah pelancong China yang melawat Malaysia pada tahun 2009 mencatat angka 1 juta 19 ribu orang."
Jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala antara China dengan Malaysia telah meningkat dengan pesat berikutan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN pada awal tahun ini. Menurut statistik terkini, jumlah perdagangan antara China dengan Malaysia telah mencecah 54 bilion dolar Amerika dalam masa 9 bulan pertama tahun ini, meningkat kira-kira 52% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. Sekarang, Malaysia merupakan rakan dagang yang terbesar bagi China di rantau Asia Tenggara. Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China, Dato' Bong Hon Liong ketika diwawancara oleh wartawan CRI berkata: "Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN tidak memberikan tamparan kepada industri Malaysia. Sebaliknya, ia menjadikan lebihan dagangan kami dengan China semakin meningkat. Sementara itu, jumlah pelaburan yang dibuat oleh syarikat China di Malaysia juga meningkat dengan pesat pada tahun ini, iaitu meningkat 561% dalam 6 bulan pertama tahun ini, berbanding dengan masa yang sama tahun lepas. Saya yakin hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara akan meningkat lagi pada masa akan datang."