Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi terletak di bahagian selatan China dan bersempadan dengan Vietnam. Guangxi yang dihubungi dengan jaringan pengangkutan udara, laut dan darat yang sempurna dengan negara-negara ASEAN sentiasa memainkan peranan yang penting dalam memacu kerjasama saling menguntungkan antara China dengan ASEAN. Kini, perkataan "ASEAN" sudah tidak asing lagi bagi penduduk di bandar Nanning, iaitu ibu kota wilayah itu, khususnya dengan Ekspo China-ASEAN yang dianjurkan di sana pada setiap tahun sejak tahun 2004. Pengedaran barangan antara pelbagai tempat di Guangxi dengan negara-negara ASEAN menjadi lebih dinamik selepas Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN(CAFTA) pada 1 Januari tahun 2010. Sementara itu, semakin banyak jenis barangan dari negara ASEAN boleh didapati di pelbagai pasar raya di Guangxi, dan mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan tempatan. Pada pandangan penduduk bandar Nanning, perkataan "ASEAN" bukan hanya disebut bersama dengan pelbagai persidangan yang dianjurkan oleh kerajaan China dan negara-negara ASEAN di bandar itu, malah ia telah menyerap masuk ke dalam kehidupan seharian mereka.
Menjelang perayaan Tahun Baru China, pelbagai jenis buah-buahan dari negara ASEAN seperti mangkis dan mangga dari Thailand, buah naga dan laici dari Vietnam amat laris dijual di pasar buah dan sayur Wuliting, Nanning. Naib Ketua Pengurus Syarikat Buah-buahan Guiguoxiang Nanning, Encik Lu Zhuowei berkata: "Semakin banyak jenis buah-buahan dari negara ASEAN memasuki Nanning selepas penurunan tarif antara China dengan ASEAN pada awal tahun lalu. Mangkis, buah naga dan mangga dari ASEAN boleh memenuhi permintaan pasaran di sini, khususnya pada masa bukan musim tuaian buah-buahan di China. Oleh itu, pengeluaran buah-buahan di ASEAN dan China adalah saling melengkapi."
Sebenarnya, harga buah-buahan dari ASEAN telah banyak menurun dengan terlaksananya "Program Hasil Peringkat Awal" dalam proses penubuhan CAFTA pada tahun 2004. Hal ini menjadikan penduduk Nanning terlebih dahulu mendapatkan manfaat daripada CAFTA. Seiring dengan penurunan tarif China-ASEAN secara berterusan, harga buah-buahan ASEAN menjadi lebih murah. Buah-buahan tropika yang diimport dari negara-negara ASEAN kini bukan sahaja dijual di pelbagai pasar raya di Nanning, malah di gerai buah-buahan di tepi jalan.
Ketika menyebut tentang perubahan harga buah-buahan ASEAN selepas penubuhan CAFTA, Encik Zhu, seorang peniaga di Pasar Buah dan Sayur Wuliting berkata: "Jualan buah-buahan ASEAN agak sedikit sebelum penubuhan CAFTA. Tetapi, sekarang jumlah jualannya meningkat dengan besar kerana harganya banyak menurun. Sebagai conton, harga mangkis lebih daripada 300 Yuan sekotak pada masa dahulu, manakala sekarang hanya 180 Yuan sahaja. Harga durian pula paling murah sekarang 7.6 Yuan sekilo, angka ini pernah mencatat 36 Yuan sekilo pada masa dahulu."
Selain daripada buah-buahan, beberapa jenis barangan ASEAN seperti kuih kacang Vietnam, manisan durian Thailand, pakaian dan barang hiasan Indonesia dan barangan kemas jed dari Myanmar juga semakin banyak didapati di kedai-kedai di Nanning, malah di pasar raya yang besar seperti Carrefour.