
Sementara itu, makan bersama dengan saudara mara dan kawan-kawan di restoran masakan negara Asia Tenggara telah menjadi sejenis arus fesyen baru di bandar Nanning. Restoran Masakan Asia Tenggara ialah sebuah restoran yang diusahakan oleh peniaga Thailand di Nanning. Berdasarkan pengalaman mengusahakan sektor restoran di China sejak sekian lama, restoran ini mendapat sambutan yang sungguh baik walaupun hanya dibuka selama 8 bulan sahaja. Ketua Pengurus restoran itu, Puan Li Hua berkata: "Saya yakin restoran kami mempunyai prospek yang baik kerana Ekspo China-ASEAN dianjurkan setiap tahun di sini. Kami juga merancang untuk membuka restoran baru di bandar ini. Lauk kari bercita rasa asli yang dimasak oleh tukang masak dari Thailand amat disukai oleh pelanggan. Konsulat beberapa buah negara ASEAN di Nanning seperti Thailand, Myanmar dan Kemboja juga selalu mengadakan majlis jamuan di restoran kami."

Untuk memastikan lauk-pauk bercita rasa asli, lebih 50% rempahan untuk memasak diimport dari negara-negara ASEAN. Di samping itu, kesemua 16 orang tukang masak yang bertugas di restoran ini amat berpengalaman dalam memasak masakan negara Asia Tenggara, cara masaknya juga mengikut ajaran daripada tukang masak Thailand. Huang Jianqiang, seorang tukang masak di Restoran Masakan Asia Tenggara ini berkata: "Saya mula belajar memasak lauk Thai dengan tukang masak Thailand pada tahun 2002. Bukan senang memasak lauk Thai kerana banyak jenis rempahan kena dipakai. Sebagai contoh, lebih 20 jenis rempahan diperlukan untuk memasak lauk kari yang bercita rasa asli Thailand."
Selain daripada masakan Thai, Restoran Masakan Asia Tenggara juga menghidangkan lauk-pauk dari beberapa buah negara ASEAN yang lain, seperti Malaysia, Vietnam, Filipina dan Singapura. Ketika makan di restoran ini, para pelanggan bukan sahaja berpeluang merasai masakan Asia Tenggara yang sedap dan penuh bercita rasa, tetapi juga boleh menghayati budaya makan minum yang amat istimewa. Maka, restoran ini sentiasa dibanjiri pelanggan, khususnya pada hari minggu. Encik Song yang sedang makan bersama dengan anggota keluarganya di restoran ini memberitahu wartawan: "Masakan di restoran ini seperti ketam kari amat sedap. Saya berpuas hati dengan rasa lauk-pauk Thai di sini dan harganya yang berpatutan."








