Durian Malaysia jenis Musang King dan D 24 mula dipasarkan di China secara dingin beku mulai hari ini. Raja Buah itu diperkenalkan sempena Pesta Kebudayaan dan Produk 1Malaysia di China yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Beijing. Ia sempena dengan sambutan Hari kebangsaan ke 54.
Bufet durian yang diadakan sempena Ekspo itu menjadi tarikan utama pengunjung ke Ekspo itu. Walaupun dikenakan bayaran sebanyak RMB150 setiap seorang namun kesemua 5 ribu baucar sudah terjual di hari pertama Ekspo berlangsung. Demikian dinyatakan oleh Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin.
Beliau ditemui selepas merasmikan Ekspo berkenaan di salah sebuah Pasaraya terkemuka di Taiyanggong, Beijing. Menurutnya, Ekspo seumpama itu akan diperluaskan ke seluruh China berikutan sambutan hangat rakyat negara itu terhadap barangan buatan Malaysia. Datuk Iskandar yakin potensi pasaran bagi produk Malaysia akan berkembang pesat berikutan kelebihan Malaysia sebagai pintu masuk China ke pasaran Asean. Beliau juga yakin sasaran peningkatan antara 10 hingga 20 peratus dalam dagangan dua hala dengan china akan tercapai tahun ini. Jumlah dagangan kedua-duanya dijangka mencapai 90 bilion dolar amerika tahun ini.