Pusat Penyelidikan Subkawasan Sungai Mekong Besar (GMS) Universiti Yunnan dan Percetakan Dokumen Sains Sosial China semalam menerbitkan "Buku Biru Subkawasan Sungai Mekong Besar 2013" yang menunjukkan bahawa sejak kerjasama ekonomi di GMS dimulakan pada tahun 1992, kerjasama itu telah menjadi teladan cemerlang di rantau Asia dan dalam kerjasama selatan-selatan, sekaligus meningkatkan perdagangan antara China dengan negara-negara di GMS. Ketua Institut Pengajian Asia Tenggara Universiti Yunnan, Lu Guangsheng berkata,
"Kerjasama GMS merupakan percubaan pertama bagi China untuk menyertai kerjasama subkawasan dan juga menjadi teladan bagi China dalam kerjasama selatan-selatan. Kini, kerjasama di GMS ini telah melibatkan banyak bidang termasuk perdagangan, pelaburan, infrastruktur, pembanterasan penyeludupan dadah antarabangsa, kesihatan awam di kawasan aliran sungai dan lain-lain. Di samping itu, China juga membuka pasaran terhadap GMS untuk memperlihatkan semangat muhibah dan memberi peluang pembangunan kepada negara-negara di subkawasan tersebut."
Ketua Editor buku biru ini, Liu Zhi memaklumkan, dengan latar belakang kemerosotan ekonomi dunia, dasar buka pintu yang dikekalkan oleh China menggalakkan pembangunan ekonomi Vietnam, Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja agar mengekalkan pertumbuhan pada kadar 5% ke atas,
"Perdagangan dan pelaburan China ke lima negara tersebut meningkat dengan pesat. Kini, China telah menjadi rakan dagang dan pelaburan yang penting bagi mereka. Jumlah perdagangan China dengan lima negara GMS yang mencatat USD 131.8 bilion pada tahun lalu telah mencipta rekod baharu.Bagi China, kerjasama dengan GMS juga menggalakkan penyusunan semula industri domestik. Beberapa industri telah berkembang secara berlebihan di China, tapi masih tidak cukup berkembang di negara-negara GMS. Pembangunan ekonomi mereka mampu menerima industri seumpama ini yang dialihkan dari China. Tambahan pula, produk yang diproseskan di negara-negara tersebut juga dieksport ke pasaran China lagi. Ini terus menggalakkan perkembangan perdagangan bilateral."
Buku Biru GMS edisi 2012
Berdasarkan buku biru ini, sejak tahun 2012, aktiviti diplomatik negara-negara di luar GMS menjadi semakin rancak, kuasa besar seperti AS, Jepun dan India turut meningkatkan penyertaan di GMS. Setelah berjaya menyambungkan penggalnya sebagai Presiden AS, Barack Obama menetapkan destinasi lawatan pertamanya untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur dan melawat Kemboja, Thailand dan Myanmar. Boleh dikatakan, kawasan Sungai Mekong telah dijadikan tapak percubaan bagi dasar "pengimbangan semula Asia Pasifik" AS dan juga arena persaingan antara kuasa besar. Profesor dari Institut Pengajian Strategi Antarabangsa Sekolah Parti Komunis China, Ma Xiaojun berpendapat,
"Pelbagai kuasa besar mengadakan kerjasama yang berkesan di GMS, Asia Tenggara bahkan Asia Timur. Ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut. China patut menyelaraskan hubungan antara kuasa-kuasa besar dan memainkan peranan positif bagi mengekalkan kedamaian dan keselamatan serta menggalakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan ini."