Xi Perkenal Gagasan 'China yang Indah'

2023-07-21 12:21:51  CRI
Share with:

Persidangan Pemeliharaan Ekologi Alam Sekitar Kebangsaan China yang berlangsung selama dua hari melabuhkan tirainya di Beijing pada Selasa.

Presiden China Xi Jinping dalam persidangan itu menegaskan bahawa pewujudan gagasan China yang Indah perlu diutamakan dalam pembinaan China sebagai negara sosialis moden serta pembangkitan gemilang nusa dan bangsa.

Beliau turut menetapkan garis panduan strategik untuk mempercepat pembangunan berkualiti tinggi yang berorientasikan mesra alam dan rendah karbon, sekali gus mendorong modenisasi simbiosis antara manusia dengan alam semula jadi.

Garis panduan Xi dilihat kondusif untuk menggalakkan pembentukan pola dan landskap, struktur perindustrian, corak pengeluaran dan gaya hidup yang berteraskan penjimatan sumber tenaga serta perlindungan alam sekitar di China.

Secara tidak langsung, ia turut menggariskan hala tuju pembinaan "China yang indah" yang berpandukan konsep mesra alam.  

Sebagai negara membangun yang berpopulasi 1.4 bilion, China yang giat merealisasikan pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan persekitaran dan kesejahteraan rakyat sering mendapat perhatian luas dan mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa dalam pelbagai bentuk termasuk digelar sebagai “Champions of the Earth", selain mendapat anugerah  tertinggi Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).  

Menerusi penstrukturan semula industri terlibat, transformasi corak pengeluaran dan gaya hidup di China juga akan menyediakan peluang pembangunan yang banyak kepada usaha perlindungan alam sekitar serta inovasi sains dan teknologi sejagat.