'Deklarasi Beijing' Selangkah Penting ke Arah Kedamaian Asia Barat

2024-07-24 15:21:30  CRI
Share with:

Wakil kanan dari 14 puak Palestin menandatangani 'Deklarasi Beijing' untuk menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan nasional selepas mengadakan dialog perdamaian di Beijing bermula 21 hingga 23 Julai.


Pelbagai puak menerusi deklarasi itu mengesahkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) adalah wakil sah tunggal rakyat Palestin, selain mencapai persetujuan mengenai tadbir urus Gaza pasca perang serta pembentukan kerajaan perdamaian nasional sementara.


Pemeteraian 'Deklarasi Beijing' disifatkan sebagai selangkah penting ke arah mewujudkan kedamaian di rantau Asia Barat sekali gus membawa sinar harapan kepada rakyat Palestin yang mengalami kesengsaraan sejak sekian lama.

Semasa dialog kali ini, kedengaran suara lantang yang menyeru penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka mengikut resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Hal ini turut memperlihatkan puak-puak Palestin memegang pendirian yang rasional menerusi usaha pengantaraan China.


Dalam isu Palestin, China tidak pernah mempunyai sebarang kepentingan kendiri dan sentiasa berdiri di sisi kedamaian serta hati nurani manusia.


Sejak konflik Palestin-Israel tercetus pada Oktober tahun lalu, China berulang kali menyeru supaya pihak terlibat melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi mengelak konflik daripada terus merebak sambil menegaskan bahawa formula 'penyelesaian dua negara' adalah satu-satunya jalan keluar bagi merungkai isu berkenaan.


Sempena dialog di Beijing kali ini, pihak China telah mengemukakan saranan 'tiga langkah' bagi menamatkan konflik di Gaza, yang turut mendapat penghargaan daripada pelbagai puak Palestin.