Pemerkasaan Pembaharuan Suntik Keyakinan kepada Pelabur Asing

2024-07-26 16:31:44  CRI
Share with:

Delegasi yang terdiri daripada pegawai eksekutif kanan perusahaan Amerika Syarikat (AS) antaranya FedEx, Goldman Sachs, Apple, Boeing dan Micron Technology Inc dilaporkan melawat ke China akhir-akhir ini, hanya beberapa hari selepas sidang pleno ketiga Jawatankuasa Pusat ke-20 Parti Komunis China (PKC) menutup tirai.


Menurut penganalisis, lawatan itu memperlihatkan hasrat syarikat terbabit untuk memahami dasar-dasar China mengenai usaha memperkasa pembaharuan secara menyeluruh supaya dapat merebut peluang daripadanya.


Sidang pleno ketiga Jawatankuasa Pusat ke-20 PKC telah merangka cetak biru baharu pembaharuan dan keterbukaan China, sekali gus memaparkan iltizam negara Tembok Besar untuk terus memperluas keterbukaan.


Sepertimana dinyatakan ahli delegasi itu, mereka menantikan pusingan baharu pembaharuan ekonomi dan pemerkasaan keterbukaan China untuk menarik lebih banyak pelaburan asing yang mampan.


Data terkini menunjukkan ekonomi China mengekalkan momentum pemulihan pada separuh pertama 2024 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dicatat sebanyak 61.7 trilion yuan (RM39.7 trilion), meningkat 5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.


Dalam pada itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi China bagi tahun ini dan berpendapat bahawa entiti baru muncul di Asia terutamanya China kekal merupakan enjin utama pertumbuhan ekonomi global.


Sidang pleno berkenaan menegaskan bahawa China komited untuk mencapai matlamat pembangunan sosioekonomi sepanjang tahun.


Kesemuanya menyuntik keyakinan kukuh kepada perusahaan AS yang ingin meneroka peluang kerjasama di China.


Sidang pleno itu juga menuntut supaya keupayaan keterbukaan terus dipertingkat menerusi kerjasama antarabangsa lebih kukuh dengan mengoptimumkan pasaran domestik yang raksasa.


Dua kata kuncinya iaitu 'pasaran' dan 'kerjasama' turut menunjukkan asas serta pendekatan China untuk meningkatkan keupayaan keterbukaan dan ia juga faktor utama yang membolehkan China menjadi tumpuan pelabur asing.