Cetak Biru Keterbukaan China Janji Manfaat Baharu
Sidang pleno ketiga Jawatankuasa Pusat ke-20 Parti Komunis China (PKC) yang berlangsung baru-baru ini meluluskan keputusan mengenai usaha memperkasa pembaharuan secara komprehensif dan memacu modenisasi ala China.
Keputusan itu telah membuat aturan khusus tentang keterbukaan. Dalam pada itu, usaha hendaklah terus dipergiatkan bagi mendorong pembaharuan menerusi keterbukaan dan membina sistem baharu ekonomi terbuka yang bertaraf lebih tinggi.
Penganalisis menganggap ia sebagai mesej jelas untuk memperluas keterbukaan, dan cetak biru baharu itu akan membawa lebih banyak limpahan manfaat kepada dunia.
Berdepan masalah pembangunan yang dihadapi bersama manusia serta revolusi sains dan teknologi pusingan baharu, China komited mendorong keterbukaan bertaraf tinggi.
Ia bukan sahaja kerana usaha berkenaan berjaya mendorong pembaharuan dan pembangunan negara, tetapi juga mengikut hukum pembangunan ekonomi, sekali gus memperlihatkan komitmen China untuk berkongsi peluang dengan dunia.
China bersedia berkongsi pasaran berskala besar dengan dunia. Sidang pleno itu menuntut supaya keterbukaan terus diperkasa menerusi kerjasama antarabangsa lebih kukuh dengan mengoptimumkan pasaran domestik yang raksasa.
Keterbukaan China kini menumpukan kepada aspek keinstitusian melibatkan peraturan, pengurusan dan piawaian supaya peraturan ekonomi dan perdagangan domestik dapat diselaraskan dengan piawaian antarabangsa.
Menurut keputusan yang diluluskan sidang pleno kali ini, inisiatif hendaklah dilakukan untuk memperluas keterbukaan secara keinstitusian, proaktif menyelaraskan diri dengan peraturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa yang berpiawaian tinggi, memperdalam pembaharuan sistem melibatkan perdagangan luar dan pengurusan pelaburan asing serta pelaburan di luar negara.
Keputusan berkenaan juga menekankan perlunya melengkapkan mekanisme bagi mendorong kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) secara berkualiti tinggi, dan mengambil langkah bersepadu untuk menggerakkan pelaksanaan projek ikonik yang besar dan projek 'small but beautiful' yang berpaksikan rakyat.
Aturan seumpama pasti akan menyuntik momentum baharu kepada pembangunan dunia, di samping membawa lebih banyak manfaat buat rakyat semua negara.