Universiade Chengdu Penuh Unik: FISU

2023-07-31 15:30:27  CRI
Share with:

Sukan Universiti Musim Panas Dunia (Universiade) kini menjadi satu acara komprehensif yang merangkumi budaya, sukan, pendidikan dan pelbagai jenis legasi.

Demikian ujar Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU), Leonz Eder dalam wawancara eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG) sempena penganjuran Universiade ke-31 di Chengdu.

Menurut beliau, agenda seperti bandar hijau, perlindungan alam sekitar dan pembangunan lestari yang turut diperkenalkan pada temasya kali ini juga tidak pernah difikirkan pada 20 tahun lalu.

“Dahulu, kami (penganjur) hanya fokus kepada acara pertandingan sahaja dengan menghimpunkan peserta sukan termasuk atlet unggul dari golongan mahasiswa,” tambah Eder.

Beliau turut menyifatkan Universiade edisi kali ini sebagai penuh unik dengan perancangannya dibuat secara menyeluruh.

"Stadium dan kemudahan untuk Universiade kali ini sangat bagus dan moden.

"Wakil teknikal dari FISU dan pelbagai persekutuan sukan antarabangsa turut mengadakan tinjauan di Chengdu, serta membuat siri penilaian. Mereka menyaksikan sendiri kerja persiapan yang bertaraf tinggi,” kata Eder.

Menyentuh mengenai program 'kampus sihat', beliau menggambarkan hasil inisiatif FISU itu selaras dengan saranan Presiden Xi Jinping untuk mewujudkan perkembangan yang seimbang antara pembelajaran dan latihan sukan dalam kalangan belia.

“Kini, terdapat empat atau lima buah universiti China yang menyertai program berkenaan.

"Kesemuanya akan dianugerahkan sijil ‘kampus sihat’ sempena Persidangan Akademik Sedunia FISU di Chengdu," ulas Eder.

Beliau menambah bahawa pihaknya bukan sekadar menumpukan kepada sukan sahaja, tetapi juga mengambil berat terhadap khasiat, kesihatan psikologi serta faktor lain.