Xi: China Bersedia Berganding Bahu dengan Afrika demi Wujudkan Modenisasi

2023-08-27 15:27:33  CRI
Share with:

China dengan teguh menyokong jalan pemodenan yang dipilih oleh negara dan rakyat Afrika, dan bersedia berganding bahu dengan Afrika untuk mewujudkan modenisasi.

Presiden China Xi Jinping berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk 'Berganding bahu ke arah pemodenan bagi wujudkan masa depan China-Afrika yang indah' semasa mempengerusikan Dialog Pemimpin China-Afrika bersama-sama rakan sejawatan dari Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, di Johannesburg, pada Khamis. 

"China akan menyokong Afrika dalam mengembangkan sektor pembuatan serta mewujudkan pengindustrian dan kepelbagaian ekonomi.

Tambah Xi, China bersedia melancarkan Rancangan China Menyokong Pemodenan Pertanian Afrika.

“China akan membantu Afrika dalam penanaman tanaman bijirin, menggalakkan perusahaan China meningkatkan pelaburan dalam bidang pertanian di Afrika,  mengintensifkan kerjasama dalam  bidang sains dan teknologi pertanian bagi membantu transformasi serta penaiktarafan pertanian di Afrika.

Menurut Xi, China juga akan melancarkan Rancangan Kerjasama China-Afrika mengenai Pembangunan Bakat.

"China merancang untuk melatih 500 dekan dan pensyarah berkaliber kolej vokasional, serta 10,000 modal insan teknikal yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin untuk Afrika setiap tahun, selain menjemput 20,000 pegawai kerajaan Afrika dan kakitangan teknikal untuk menyertai projek penyelidikan serta perbincangan untuk menyokong Afrika meningkatkan keupayaan dalam inovasi sains dan pendidikan.

“China akan melaksanakan Rancangan Kerjasama 100 Universiti China-Afrika dan melancarkan 10 projek perintis institut penyelidikan rakan kongsi China-Afrika," kata beliau.