​ Manfaatkan CIFTIS, Galakkan Pemulihan Ekonomi Dunia: Xi

2023-09-04 13:44:22  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping berjanji bahawa China akan terus memperkasakan keterbukaan bertahap tinggi, menggunakan peluang pasaran gergasi China untuk menyumbang tenaga pembangunan baharu kepada ekonomi dunia, agar membawa ekonomi dunia ke landasan pemulihan berterusan.

Demikian ujar beliau ketika menyampaikan ucaptamanya secara maya pada Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS), pada Sabtu.

Bertemakan "Perkhidmatan Global dan Perkongsian Manfaat Bersama", CIFTIS yang dilancarkan pada 2012 itu telah menjadi pameran dan platform perdagangan komprehensif berskala besar dalam bidang perdagangan perkhidmatan global sejak sedekad yang lalu.

Pada edisi kali ini, sejumlah 51 negara dan 24 organisasi antarabangsa menyediakan reruai pameran, dengan lebih 2,200 perusahaan mengambil bahagian dalam pameran fizikal, dan lebih daripada 500 syarikat terhebat serta peneraju industri menyertai pameran itu.

Xi dalam ucapannya turut menyeru semua negara di dunia untuk memanfaatkan peluang bersejarah CIFTIS dan menggalakkan pemulihan ekonomi dunia yang berterusan.

Beliau juga menjelaskan langkah-langkah China untuk memperkasakan keterbukaan bertahap tinggi, antaranya termasuk meluaskan rangkaian kawasan perdagangan bebas, meningkatkan keterbukaan bagi sektor-sektor perkhidmatan melibatkan telekomunikasi, pelancongan, guaman dan peperiksaan vokasional, serta melonggarkan akses pasaran dalam industri perkhidmatan.

Pada masa sama, China akan merapatkan kerjasama perdagangan perkhidmatan dan digital dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“China akan mempercepat pendigitalan perdagangan perkhidmatan serta menggalakkan pembangunan seimbang antara perdagangan perkhidmatan dengan industri perkhidmatan moden, industri perkilangan berteknologi tinggi dan pertanian moden.

“China akan berkongsi pencapaian pemodenan ala China dan secara aktif mengintensifkan import perkhidmatan berkualiti tinggi, menggalakkan pengembangan eksport perkhidmatan berintensif pengetahuan, sekali gus memberikan dorongan pembangunan yang baharu kepada dunia," ujar Xi.