Xi Ucap Selamat Menyambut TBC kepada Seluruh Rakyat

2024-02-03 15:22:01  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping membuat tinjauan ke bandar Tianjin untuk menyantuni penduduk tempatan serta pegawai peringkat akar umbi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).

Xi turut mengucapkan selamat menyambut TBC kepada rakyat pelbagai etnik di seluruh negara, saudara setanah air di Hong Kong, Makau dan Taiwan, serta perantau China di seberang laut. 

Pada pagi Khamis, Xi menjejakkan kaki ke kampung Diliubu di pekan Xinkou, daerah Xiqing.

Pada hujung Julai hingga awal Ogos tahun lepas, bahagian utara China dilanda hujan lebat hingga menyebabkan sesetengah tempat di Tianjin ditenggelami air bah.

Setelah dimaklumkan tentang keadaan banjir, Xi memasuki rumah hijau untuk melihat sendiri pertumbuhan sayur-sayuran.

Beliau juga bertanya kepada petani mengenai kerja pembaikpulihan rumah hijau, pembenihan semula dan jualan sayur-sayuran.

Pada sebelah petang, Xi berkunjung ke jalan budaya kuno Tianjin. 

Xi menekankan peri pentingnya mewarisi dan menyemarakkan budaya tradisional dalam usaha merealisasikan pemodenan ala China.

Beliau berharap agar Tianjin terus memelihara dan mengoptimumkan blok sejarah dan budaya dengan lebih baik.

Pada petang Jumaat, Xi mendengar laporan kerja yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Parti Komunis China di bandar Tianjin dan kerajaan tempatan.

Beliau mahu Tianjin memfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan pembangunan berkualiti, dan membina metropolitan moden secara menyeluruh berlandaskan strategi pembangunan terselaras Beijing-Tianjin-Hebei.

Xi turut menekankan pentingnya untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat, bekalan barangan dan tenaga, serta keharmonian dan kestabilan masyarakat sempena perayaan TBC.