Xi Adakan Rundingan dengan Presiden Sierra Leone

2024-02-29 13:07:46  CRI
Share with:

President China Xi Jinping telah mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Sierra Leone, Julius Maada Bio di Dewan Besar Rakyat di Beijing petang Rabu.

Xi berkata, persahabatan China-Sierra Leone mempunyai sejarah yang panjang. Kedua-dua pihak menyokong antara satu sama lain dalam isu yang melibatkan kepentingan teras dan keprihatinan utama masing-masing, menjalankan kerjasama yang efisien dalam pembangunan sosioekonomi, mengeratkan penyelarasan berkisar pada topik melibatkan kedamaian dan pembangunan dunia, dan bersama-sama memerangi wabak Ebola dan Covid-19. Boleh dikatakan bahawa hubungan China-Sierra Leone telah menjadi teladan dalam perpaduan dan kerjasama China-Afrika. China bersedia bersama dengan Sierra Leone untuk konsisten memupuk rasa saling percaya dalam bidang politik, bertindak pantas merancakkan kerjasama yang saling menguntungkan, dan meningkatkan penyelarasan dalam urusan antarabangsa dan serantau untuk mendorong hubungan dua hala melonjak ke satu tahap baharu. 

Xi menekankan bahawa China menyokong teguh rakyat Sierra Leone merintis jalan pembangunan yang serasi dengan tata hukum negara sendiri. China bersedia memberikan bantuan dan sokongan dalam kemampuannya kepada pembangunan Sierra Leone dalam bidang pertanian, pembinaan infrastruktur dan sumber manusia, dan menggalakkan dan menyokong perusahaan China melabur dan menjalankan perniagaan di sana.

Xi menambah, kedua-dua pihak diharap meningkatkan kerjasama dalam urusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dan bersama-sama memelihara kepentingan Afrika dan negara-negara membangun. China mengalu-alukan Sierra Leone mengambil bahagian dalam Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Tamadun Global, dan bersama-sama menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Xi menyatakan bahawa China sentiasa menjadikan perpaduan dan kerjasama dengan negara Afrika sebagai batu asas penting dalam pelaksanaan dasar luarnya. China akan menyokong inisiatif perindustrian Afrika, rancangan pemodenan pertanian Afrika, rancangan kerjasama pendidikan tenaga profesional China-Afrika diselaraskan dengan pelaksanaan Agenda 2063 Kesatuan Afrika dan strategi pembangunan di pelbagai negara Afrika supaya pembangunan China, Afrika dan dunia digalakkan serentak. China bersedia bersama-sama dengan rakan Afrika seperti Sierra Leone untuk menganjurkan Forum Kerjasama China-Afrika dengan baik pada tahun ini.

Julius Maada Bio pula menyatakan bahawa Sierra Leone konsisten mengamalkan prinsip Satu China, dan bersedia mempelajari daripada pengalaman China, mengukuhkan kerjasama dengan China dalam pembinaan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, mendorong perkongsian strategik komprehensif China-Sierra Leone terus berkembang. Pihaknya akan meningkatkan koordinasi dengan China dalam urusan serantau dan antarabangsa untuk menggalakkan keamanan dan pembangunan dunia.