Kelebihan Tren Kargo China-Eropah Lebih Menonjol

2024-03-03 14:27:42  CRI
Share with:


Kos pengangkutan maritim dari Korea Selatan ke negara Kesatuan Eropah (EU) meningkat 250 peratus dalam tempoh empat bulan lalu akibat sekatan kumpulan bersenjata Houthi terhadap laluan perkapalan di Laut Merah, menurut laporan akhbar Harian Korea baru-baru ini.

Laporan berkenaan turut menjangkakan daya saing pengeksportan Korea Selatan akan menurun, jika dibandingkan dengan China yang mempunyai perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah.

Laut Merah antara laluan perkapalan penting menuju ke Terusan Suez dan mengendalikan kira-kira 15 peratus perdagangan maritim global saban tahun.

Tatkala rantaian bekalan global terancam akibat terputusnya laluan perkapalan penting itu, rel kargo China-Eropah menjadi tumpuan perhatian media asing.  

Banyak negara Eropah mulai mencari kaedah logistik menerusi darat untuk menggantikan pengangkutan maritim. Hal ini telah meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan rel kargo China-Eropah yang mempunyai kelebihan amat ketara dari segi kestabilan.

Sebagai laluan kesalinghubungan yang penting di bawah kerjasama berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), perkhidmatan kereta api kargo berkenaan kini meliputi 219 bandar membabitkan 25 buah negara Eropah.

Ia telah membuka laluan pengangkutan baharu di benua Eurasia, sekali gus mewujudkan rantaian bekalan logistik antarabangsa yang berdaya tahan.

Ekonomi dunia tidak dapat beroperasi tanpa pengangkutan kargo dan perdagangan barangan. Dalam konteks ini,  adalah amat signifikan untuk mewujudkan lebih banyak laluan pengangkutan alternatif di benua Eurasia.

Dalam senario situasi keselamatan ketika ini, kelebihan serta sumbangan yang dibawa kereta api kargo China-Eropah dianggap amat besar maknanya.

Hal ini turut mencerminkan BRI selaras dengan arus globalisasi ekonomi dan keperluan sezaman terhadap pembaharuan sistem tadbir urus global, serta aspirasi rakyat semua negara terhadap kehidupan bahagia.