Pemimpin China, Nauru Adakan Rundingan Sulung Sejak Pemulihan Hubungan Diplomatik Kedua-dua Negara

2024-03-26 15:43:11  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Nauru David Adeang di Dewan Besar Rakyat Beijing pada Isnin.


Ini rundingan sulung pemimpin China-Nauru sejak pemulihan ikatan diplomatik kedua-dua negara pada Jan lalu.


Xi berkata, keputusan Nauru untuk mengamalkan prinsip satu China dan memulihkan hubungan diplomatik dengan China selaras dengan trend perkembangan sejarah dan arus sezaman. China bersedia bersama-sama Nauru untuk mencipta masa depan yang baik bagi hubungan kedua-dua negara agar membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat.


Beliau menegaskan bahawa melayan negara-negara lain secara sama rata merupakan ciri-ciri penting dasar luar China. China berpendapat bahawa kesemua negara, tidak kira negara itu besar atau kecil, kuat atau lemah, kaya atau miskin, adalah anggota masyarakat antarabangsa yang sama rata. 


Beliau berkata, hubungan antara China dengan Nauru adalah berdasarkan saling menghormati, sama rata, saling menguntungkan dan sokong-menyokong. 

Xi menyatakan, China menyokong Nauru memelihara kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan, menyokong negara kepulauan itu mengikuti jalan pembangunan bebas yang sesuai dengan keadaan negara sendiri. 


Xi berkata, China menyambut baik Nauru menandatangani dokumen kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan China, dan bersedia meluaskan kerjasama pragmatik dengan Nauru dalam sektor perdagangan, pelaburan dan pembinaan prasarana. 

Sementara itu, Presiden Xi menegaskan komitmen China untuk memberikan bantuan tanpa syarat politik kepada Nauru untuk mewujudkan pembangunan bebas dan lestari.


Presiden Adeang pula mengatakan, beliau amat berbesar hati diundang melawat China untuk melihat negara yang mempunyai sejarah lama, budaya cemerlang dan membangun dengan berdinamik. 


Beliau berkata, Nauru membuat keputusan betul untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan China berdasarkan prinsip mengakui dan mempertahankan prinsip satu China tidak lama terdahulu. Inilah batu tanda penting dalam perkembangan hubungan kedua-dua negara, sekali gus membuka lembaran baharu bagi pembangunan Nauru dan hubungan Nauru dengan China. 


Adeang menegaskan bahawa pihaknya bersedia aktif menyertai pembinaan BRI, melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif  Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI), di samping meningkatkan kerjasama dengan China dalam usaha menghadapi perubahan iklim.