Xi, Biden Adakan Perbualan Telefon

2024-04-03 12:15:01  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Selasa.


Xi berkata isu persepsi strategik sentiasa bersifat dasar bagi hubungan China-AS. Sebagai dua kuasa besar, China dan AS tidak boleh memutuskan pergaulan atau berkonflik dan berkonfrontasi.


Dua negara perlu saling menghormati, hidup bersama secara damai dan menjalankan kerjasama saling untung. Hubungan bilateral harus terus melangkah ke hadapan mengikut jalan yang stabil, sihat dan mampan.


Beliau turut memberi penekanan tentang beberapa prinsip utama bagi hubungan China-AS pada tahun ini, iaitu menjunjung kedamaian, mengutamakan kestabilan dan mengekalkan kebolehpercayaan.


Menyentuh mengenai rentetan tindakan AS untuk menyekat pembangunan perdagangan dan teknologi China, Xi menyifatkan amalan seumpama bakal mencetuskan risiko.


Menurut beliau, pintu China adalah sentiasa terbuka sekiranya AS sedia menjalankan kerjasama saling untung. Sebaliknya, China tidak akan duduk berdiam diri jika AS berdegil mahu menyekat pembangunan teknologi tinggi dan mencabuli hak pembangunan China.


Sementara itu, Biden berkata hubungan AS-China merupakan hubungan bilateral paling penting di dunia.


Beliau mengulangi bahawa AS tidak ingin mencetuskan 'Perang Dingin baharu' dan tiada niat untuk mengubah sistem China atau menentang China menerusi pengukuhan hubungan sekutu.


AS juga tidak menyokong 'kemerdekaan Taiwan' dan tidak mahu berkonflik dengan China.


Kata beliau, pembangunan China bermanfaat kepada dunia. AS tidak menyasar mengekang pembangunan China atau 'mencantas hubungan' dengan negara Tembok Besar.


AS akan mengatur lawatan Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dan Setiausaha Negara Antony Blinken ke China dalam masa terdekat bagi memperkasa komunikasi dan kerjasama, sekali gus memantapkan perkembangan hubungan dua hala dan bersama-sama menangani cabaran global.