Xi Bertemu Presiden Micronesia

2024-04-10 13:04:49  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Persekutuan Negeri-negeri Micronesia Wesley W. Simina di Beijing pada Selasa.


Xi berkata China bersedia bersama Micronesia mengekalkan dialog dan pertukaran segenap peringkat, mengukuhkan kerjasama saling menguntungkan dalam pelbagai bidang dan melonjakkan hubungan dua hala ke tahap baharu.


Beliau menyarankan kedua-dua pihak mempercepat usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), mengukuhkan kerjasama membabitkan projek infrastruktur dan merapatkan pertukaran dalam bidang budaya, perubatan, pendidikan dan lain-lain.


Xi menyatakan China sudi menyediakan bantuan kepada Micronesia dalam usaha mengatasi perubahan iklim di bawah rangka kerjasama Selatan-Selatan, selain menawarkan latihan berhubung pembinaan keupayaan.

China juga bersedia bersama Micronesia mengukuhkan penyelarasan dalam mekanisme multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Forum Kepulauan Pasifik bagi bersama-sama melaksanakan multilateralisme dan mempertahankan keadilan.


Xi menambah bahawa hubungan China dengan negara kepulauan Pasifik adalah berasaskan bantu-membantu dalam rangka kerjasama Selatan-Selatan. Ia tidak menyasarkan mana-mana pihak ketiga, dan juga tidak patut diganggu oleh pihak ketiga.


Simina menzahirkan penghargaan atas bantuan China terhadap pembangunan sosioekonomi negara-negara kepulauan Pasifik, termausk Micronesia.


Beliau meluahkan keinginan untuk memperdalam kerjasama BRI dengan China dalam bidang pertanian, perikanan, perdagangan, pelaburan, pelancongan, ekonomi digital serta usaha menangani perubahan iklim.