Prestasi Ekonomi China Rekod Permulaan Baik
Ekonomi China merekodkan permulaan stabil tahun ini, menyaksikan penyusunan semula struktur mencapai kemajuan, kualiti dan keefisienan bertambah baik, kesejahteraan rakyat terjamin dan jangkaan pasaran terus meningkat.
Menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), ekonomi China meneruskan trend pemulihan sejak awal tahun ini dengan kadar pertumbuhan kekal mapan.
Untuk rekod, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama, sementara nilai tambah industri menokok sebanyak enam peratus, 0.8 mata peratusan lebih tinggi daripada suku sebelumnya.
Pelaburan dalam aset tetap pula naik sebanyak 4.5 peratus, 1.5 mata peratusan lebih tinggi berbanding keseluruhan tahun lepas.
Keuntungan diperoleh industri berskala besar menyaksikan peningkatan sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun dan indeks pengurus pembelian (PMI) sektor pembuatan China kekal melebihi paras neutral 50.0 selama dua bulan berturut-turut.
Pada masa sama, 3.03 juta orang di bandar dan pekan mendapat peluang pekerjaan, bertambah sebanyak 60,000 tahun ke tahun.
Di samping itu, pendapatan boleh guna per kapita seluruh negara mencatatkan peningkatan sebanyak 6.2 peratus.
Menurut NDRC, prestasi berkenaan disumbang faktor positif yang bertambah banyak, momentum semakin kukuh serta pembangunan berkualiti tinggi terus dimantapkan.
Kesemuanya meletakkan asas yang kukuh untuk memastikan realisasi sasaran pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun ini.