Wartawan CRI nampak terdapat banyak majalah fesyen terletak di sebelah mesin jahit yang digunakan Zhou Xiaoyan. Zhou menjelaskan beliau berminat menyelidik reka bentuk pakaian dan hiasan yang terdapat dalam majalah-majalah itu. Dengan demikian, beliau dapat menyediakan pilihan yang beraneka ragam sesuai dengan selera pelanggan.
Zhou Xiaoyan berkata: "Kami di sini membuat pakaian biasa, pakaian seragam dan pakaian fesyen."
Zhou memberitahu ramai pelanggan biasanya menempah pakaian di kedai "Pakaian Hongye" dengan menunjukkan gambar yang terdapat dalam majalah fesyen. Pakaian yang dibuat berdasarkan tempahan dedemikian lebih sesuai dengan badan pelanggan dan mengikut kehendak individu berbanding yang sudah siap yang dijual di pusat beli-belah. Kata Zhou, potongan pakaian yang ditempah itu tidak rumit dan tukang jahit di kedai "Pakaian Hongye" berkemampuan menghasilkannya.

Zhou Xiaoyan berkata: "Mereka yang menjadi pelanggan kedai kami terdiri daripada pelajar yang berumur lebih 20 tahun, orang dewasa di bawah 50-an dan warga asing. Ramai yang diperkenalkan oleh pelanggan yang pernah buat tempahan di sini dan ada yang datang membuat tempahan kerana tertarik dengan kedai ini."
Zhou mendapati pelanggan mempunyai minat yang berbeza terhadap pakaian yang mereka tempah di segi bahan-bahan, reka bentuk, fesyen dan potongan. Setelah lama bertugas di kedai jahit, Zhou Xiaoyan mengetahui banyak fesyen terkini. Beliau sengaja menggantung beberapa fesyen pakaian di depan kedai itu untuk menarik perhatian pelanggan.

Pelanggan kedai "Pakaian Hongye", Tan Xiaode, memuji kemahiran tukang jahit di kedai "Pakaian Hongye".
Beliau berkata: "Kedai ini menyediakan fesyen yang beraneka ragam. Kami ada banyak pilihan ketika menempah pakaian, baik potongan mahupun reka bentuknya. Jika pakaian yang ditempah terasa kurang sesuai, kami boleh kembalikan kepada tukang jahit di kedai ini untuk mengubah suai pakaian itu."
Pakaian yang dibuat di kedai "Pakaian Hongye" harganya lebih murah berbanding yang dijual di pusat beli-belah. Ini kerana kedai itu tidak perlu membayar kos sewa dan pengangkutan yang mahal seperti yang ditanggung oleh pusat beli-belah. Kebanyakan pelanggan suka menempah pakaian di kedai ini kerana ia siap dalam tempoh diberi.
1 2 3
|