Menguasai kemahiran mendayung dan boleh berenang merupakan dua kemestian yang perlu ada bagi pendayung wanita di Tasik Xihu. Pada masa dahulu, Yang Xiuping pernah mendayung perahu naga di kampung halamannya, iaitu Bandar Wenzhou dan yakin akan tenaga yang ada padanya. Akan tetapi, beliau mengalami kesulitan besar pada mulanya, semasa mempelajari kemahiran mendayung perahu persiar. Setelah mengikuti latihan yang meletihkan selama lebih sebulan, 20 orang pendayung wanita lulus dalam ujian pada bulan Julai 2006. Mereka diterima bekerja dan bersiap memulakan tugas.

Mereka tidak menjangka cabaran yang lebih hebat sedang menunggu di depan.

Yang Xiuping berkata: "Kami perlu menunggu pelancong di perahu walaupun suhu mencapai 40 hingga 50 darjah Celsius pada musim panas. Jika lama menunggu, kami tidak boleh tahan jemur dan terpaksa mendayung perahu tanpa penumpang untuk merasai lamparan lembut angin tasik buat sementara waktu. Kami selalu kuyup seluruh badan kerana dibasahi keringat semasa mendayung. Jika hujan turun pada musim sejuk, kami mudah demam atau masuk angin kerana sering berpeluh."
Sebelum bertugas sebagai pendayung perahu di Tasik Xihu, Yang Xiuping pernah bekerja sebagai cikgu tadika selama 9 tahun. Pada tahun 2002, beliau meletakkan jawatan itu dan membantu suaminya menjalankan perniagaan luar. Mereka memperoleh pendapatan 200 ribu yuan RMB setiap tahun dan sudah mempunyai rumah dan kereta. Sebagai seorang suri rumah, Yang Xiuping sebenarnya sudah boleh menikmati kehidupan yang selesa. Ramai orang tidak faham mengapa beliau memohon untuk menjadi pendayung perahu di Tasik Xihu.

Yang Xiuping menjelaskan: "Saya berasa bosan jika sepanjang masa berada di rumah. Saya masih muda dan patut bekerja. Pemandangan Tasik Xihu yang indah menyebabkan saya mendaftar nama untuk menjadi pendayung perahu."
1 2 3 4
|