Ketua Pejabat Am Pusat Darah Persatuan Palang Merah Beijing, Zhu Ruiliang menjelaskan, "Apabila menangani pesakit daripada kumpulan darah negatif RH pada masa akan datang, kami memerlukan bekalan dalam jumlah besar semasa pemindahan darah. Simpanan darah kecemasan sangat penting dalam usaha tersebut."
Sejak penghujung tahun 2006, Pusat Darah Persatuan Palang Merah Beijing memulakan persiapan untuk menyimpan darah negatif RH yang mencukupi bagi kegunaan semasa pelaksanaan Sukan Olimpik.

Shi Weiwei memaklumkan kepada pemberita bahawa pada tahun 2006, pihaknya telah melancarkan kempen kemasyarakatan yang menggalakkan warganegara yang berkumpulan darah negatif RH bertindak sebagai sukarelawan dan bersedia menderma darah bagi kegunaan Sukan Olimpik. Matlamatnya adalah untuk menjamin bekalan darah negatif RH mencukupi semasa pelaksanaan Sukan Olimpik nanti.
Encik Wang Jisong, seorang penduduk yang begitu aktif dalam menderma darah. Sejak tahun 2006, beliau telah beberapa kali menderma darah yang tergolong kumpulan negatif RH yang amat jarang didapati di China. Ketika menghadiri sebuah perhimpunan penderma darah kumpulan negatif RH yang diadakan di Beijing, Wang Jisong memberitahu wartawan CRI:
"Saya berusaha sedaya upaya bagi memberi sumbangan kepada masyarakat kerana saya mempunyai kumpulan darah yang jarang ada pada orang lain."

Seramai lebih 1,300 peserta perhimpunan tersebut yang mempunyai kumpulan darah negatif RH seperti Wang Jisong menyuarakan hasrat mereka bahawa jika perlu, tidak mengira kepentingan peribadi, sudah bersiap sedia bagi menderma darah kepada warga asing yang akan menyertai Sukan Olimpik.
Selain warga China, ramai warga asing yang tinggal di China juga ingin menderma darah bagi kegunaan Sukan Olimpik nanti.
1 2 3
|