Pembawa Obor yang Paling Banyak Menyertai Sukan Olimpik
Smirnov merupakan pembawa obor Kazakhstan yang paling banyak menyertai Sukan Olimpik. Beliau dilahirkan pada tahun 1964, memulakan kerjaya skinya pada tahun 1978 dan menjadi jaguh acara ski merentas desa negara Kazakhstan. Beliau pernah menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Calgary, Kanada pada tahun 1988, Sukan Olimpik Musim Sejuk di Albertville, Perancis tahun 1992, Sukan Olimpik Musim Sejuk di Lillehammer, Norway tahun 1994 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Nagano, Jepun tahun 1998. Beliau telah memenangi satu pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa dalam temasya sukan tersebut. Selain itu, beliau juga pernah lima kali menjadi juara dalam Kejohanan Dunia. Sehingga hari ini, belum ada orang yang berjaya memecahkan rekod beliau yang cemerlang itu.
Smirnov pernah diberi penghormatan menjadi pembawa obor Sukan Olimpik Sydney. Menurut laporan media tempatan, Smirnov akan membawa obor Sukan Olimpik Beijing dengan cara berski dari gunung yang tinggi dalam larian obor di Almaty kali ini. Walau bagamanapun, beliau enggan mendedahkan sebarang butir terperinci mengenai gilirannya dalam larian obor. Beliau cuma memberitahu bahawa caranya membawa obor Sukan Olimpik akan memeranjatkan seluruh dunia. Ketika menyentuh makna larian obor Sukan Olimpik di Almaty kali ini, Smirnov berkata:
"Sukan merupakan kad pengenalan sesebuah negara. Peranannya sama dengan kegiatan diplomatik. Bidang sukan diberi keutamaan di Kazakhstan. Aktiviti ini telah membolehkan rakyat Kazakhstan menyaksikan obor temasya sukan terbesar di dunia itu di depan mata dan sekali gus menyemarakkan semangat orang ramai."
Sebagai bekas anggota Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Smirnov memberitahu wartawan kami bahawa beliau memang mengundi Beijing dalam pemilihan tuan rumah Sukan Olimpik 2008 yang diadakan di Moscow pada bulan Julai 2001. Beliau tetap menganggap pilihannya pada masa itu betul. Beliau berkata:
"Saya amat berminat kepada sejarah China dan menumpukan perhatian yang besar terhadap perkembangan negara itu pada hari ini. Sukan Olimpik jarang diadakan di rantau Asia. Kini, berjuta-juta rakyat China bergiat dalam bidang sukan. Dengan mengadakan Sukan Olimpik di China seluruh dunia akan lebih memahami China. Saya mendapati bahawa perlindungan alam sekitar telah diberikan keutamaan dalam persediaan Sukan Olimpik Beijing. Usaha pihak penganjur mencerminkan pilihan saya terdahulu adalah betul dan Beijing memang berpotensi untuk menjayakan Sukan Olimpik".
----Puspa 1 2 3 4
|