Cari:
Abdul Ghani Abu: 20 Yuan Harga Potong Rambut
2011-11-09 13:53:04 CRI Cetak

Usai makan tengah hari, kami dibawa ke pejabat Persatuan Islam China (PIC). PIC ditubuhkan pada 1953 dan mendapat perhatian serius daripada kerajaan China dalam membangunkan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di China. Rombongan kami ditemukan dengan pegawai kanan PIC yang diketuai Yang Zhi Bo, Naib Presiden PIC. Menurutnya, Islam mula tersebar di China pada 651 Masihi semasa zaman Khalifah Uthman Affan melalui pedagang Arab yang datang berdagang di wilayah Xian. Ahli sejarah menjadikan tahun 651 Masihi sebagai permulaan Islam datang ke China. Islam tersebar melalui laluan sutera darat dan laluan sutera laut.


Bersama-sama pemimpin Persatuan Islam China

Setelah China melaksanakan dasar pembaharuan dan dasar pintu terbuka, Islam semakin berkembang di China. Terdapat 23 juta penduduk Islam di China, 35 000 buah masjid, 45 000 imam bertugas, dan dua buah wilayah autonomi Islam; di Ningxia dan Xinjiang. Kini, agama Islam disebarkan melalui dua cara. Pertama, melalui cara lama pendidikan al-Quran dan bahasa Arab di masjid. Kedua, melalui penerapan pendidikan agama dalam keluarga.

Terdapat 10 buah institusi pendidikan al-Quran di seluruh China yang berperanan melatih imam muda dan memberikan pendidikan agama kepada penduduk Islam. Lebih 70 peratus umat Islam di China tinggal di kawasan barat laut China. Selain itu, terdapat lebih 470 buah persatuan Islam di seluruh wilayah di China. PIC memantau aktiviti persatuan-persatuan ini.

PIC secara tuntasnya berperanan menyatukan umat Islam di China, menyokong pihak berkuasa melaksanakan dasar bebas beragama, merupakan platform umat Islam menyuarakan suara mereka, menjalankan aktiviti keagamaan yang sah, mengadakan pengajian al-Quran, memberikan kefahaman kepada umat Islam tentang ajaran sesat, aktiviti pelampau dan keganasan, memberikan fahaman Islam yang sebenar, dan memberikan bantuan kepada pertubuhan Islam untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

Selain itu, PIC menjalankan tugas seperti Bahagian Hal Ehwal Agama yang mengadakan pengajian khusus al-Quran, ada Bahagian Pengajian Budaya Islam dan menerbitkan buku agama dalam bahasa Uygur dan Mandarin.


Rombongan Kembara Muslim bersama-sama pimpinan PIC

Selain itu, PIC dengan bantuan kerajaan memperuntukkan 130 juta Yuan untuk membina dan membaik pulih institusi al-Quran yang boleh menampung 500 imam muda. PIC juga mengeluarkan sijil halal kepada perusahaan tempatan.

Pada tahun ini, 13 700 orang jemaah haji dari China berada di Mekah menunaikan haji. Jemaah haji ini diuruskan oleh PIC juga. Bercakap tentang hubungan PIC dengan Malaysia, PIC turut menjalinkan hubungan dengan Tabung Haji, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). PIC turut berperanan menghantar pertukaran pegawainya dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaya.

Dalam hal perkembangan Islam, indikator yang dapat dilihat ialah melalui pertambahan jumlah masjid di China. Pada 10 tahun lepas jumlah masjid hanya 35 000 buah, tetapi kini meningkat 40 000 buah. Peningkatan ini dirangsang oleh penghijrahan penduduk Islam dari wilayah Barat China ke wilayah Timur China yang sedang pesat membangun. Hal ini menunjukkan kebebasan beragama di China dan tiada sebarang halangan dan sekatan selaras dengan Perlembagaan China.

Dalam hal penetapan fatwa pula, PIC menjadi penyelaras dengan penubuhan Jawatankuasa Panduan Hal Ehwal Agama yang terdiri daripada 18 orang imam terkemuka daripada pelbagai etnik. Setiap ketetapan dibuat berdasarkan al-Quran, hadis, ijmak dan qias. Jawatankuasa ini juga menerbitkan empat buah buku tentang fatwa. Selain itu, penerangan tentang fatwa disampaikan semasa khutbah Jumaat dan syarahan agama.

Program imam muda ini merupakan program penijazahan sarjana muda kepada imam muda melalui pengajian selama empat tahun di Institut Al-Quran. Pada tahun hadapan PIC merangka mengadakan program untuk kaum wanita menjadi pendakwah pula. Begitulah perencanaan program penyebaran Islam di China yang sistematik yang mendapat sokongan kerajaan melalui dasar kebebasan beragama.

1 2 3
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China