Pada asalnya, "Perpustakaan Orang Hidup" diperkenalkan oleh persatuan "Hentikan Kekerasan" yang ditubuhkan oleh lima orang remaja di Copenhagen, Denmark. Pada bulan Julai 2000, persatuan tersebut telah dijemput untuk mengadakan aktiviti yang bertajuk "Perpustakaan Orang Hidup". 75 orang diundang untuk berkongsi pengalaman dengan para peserta, dan para peserta pula asyik mendengar cerita mereka seolah-oleh membaca 75 buah buku yang berlainan. Tujuan utama aktiviti tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kegiatan kekerasan, menggalakkan dialog, menghapuskan diskriminasi dan menjalinkan hubungan persahabatan. Sejak itulah, lahirnya "Perpustakaan Orang Hidup".
Aktiviti seumpama ini beransur-ansur tersebar di kebanyakan negara Eropah, dan seterusnya ke Brazil, Australia, Mexico dan Thailand. Setakat ini, aktiviti "Perpustakaan Orang Hidup" telah menjadi aktiviti amal antarabangsa. Menurut catatan, aktiviti tersebut telah diadakan 256 kali di 39 buah negara setakat 12 hb November 2010.
Sebaik sahaja aktiviti Perpustakaan Orang Hidup anjuran "Living Library" diadakan di China buat pertama kali pada 18 Mac 2009, aktiviti seumpama itu telah diadakan di perpustakaan awam, perpustakaan kolej, kedai buku dan kedai kopi di pelbagai bandar di China. Ramai orang aktif mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut baik sebagai "pembaca" untuk mendengar cerita orang lain, mahupun menjadi "buku" untuk berkongsi cerita sendiri dengan para pembaca.
Topik ini akan dibualkan dalam ruangan Suara Sutera pada 9 Januari 2013 nanti. Saudara dialu-alukan mengikuti ruangan tersebut dan berkongsi pandangan mengenai "Perpustakaan Orang Hidup". Komen atau pandangan saudara boleh dihantar ke mal@cri.com.cn