Pemandangan bandar Xiamen dari jeti di Pulau Gulangyu
(Penulis: Zaidah Ahmad Rosly)
Delegasi CRI memulakan lawatan ke Xiamen dengan mengunjungi Pulau Gulangyu. Pulau Gulangyu memang boleh dilihat dengan jelas dari bandar Xiamen. Hal ini menunjukkan kedudukannya yang begitu hampir dengan bandar Xiamen. Kami ke sana dengan menaiki feri yang mengambil masa lebih kurang lima minit. Menjejakkan kaki di sana, mengembalikan kenangan semasa bercuti ke Pulau Jerjak yang terletak di Pulau Pinang. Pulau Jerjak juga mempunyai kesan sejarah peninggalan kolonial, namun Pulau Gulangyu lebih istimewa kerana selain kesan sejarah peninggalan kolonial, pemandangan yang indah adalah antara tarikan utama Pulau Gulangyu. Oleh sebab itu, Pulau Gulangyu tersenarai dalam senarai kawasan berpandangan indah negara China.
Pemandangan dari Taman Shuzuang. Untuk ke Muzium Piano, pengunjung hendaklah melalui jambatan ini. Jambatan ini dinamai Jambatan 44 kerana pemilik jambatan ini berumur 44 tahun semasa membina jambatan ini.