Bangunan kolonial yang dijadikan kafe
Menyusuri Pulau Gulangyu, saya merasakan diri saya seumpama watak Alice dalam cerita Alice in Wonderland. Saya seolah-olah mengembara dalam dunia fantasi pada abad ke-19 dan awal abad-20 apabila menyaksikan pelbagai bangunan kolonial legasi daripada 14 negara asing masih kukuh terpelihara di Pulau Gulangyu. Bukan setakat itu saya, semasa dalam perjalanan ke Muzium Piano, saya melalui Taman Shuzhuang yang begitu mempesona. Terdapat bunga-bungaan di sekelilingnya dan sebuah jambatan yang di kirinya terdapat sebuah kolam dengan air nan menghijau, manakala di kanannya terbentang laut dan bunyi-bunyi ombak yang memukul pantai. Menurut sejarah, Pulau Gulangyu mendapat namanya daripada perkataan Gulang, iaitu Gu yang bermaksud dram, Lang pula bermaksud ombak. Maka, Taman Shuzhuang memang sangat sesuai untuk seorang sasterawan atau sesiapa sahaja yang mencari ilham untuk menghasilkan bait-bait puisi yang indah memandangkan kedudukannya yang menghadap laut dan terletaknya sebuah Muzium Piano.