Maka, saya percaya bahawa masjid besar ini bukan hanya dibina atas rasa keimanan dan ketakwaan kepada Allah, malah atas dasar cinta dan kasih sayang kepada anak cucu-cicit. Inilah harta yang paling bernilai yang mereka tinggalkan untuk kita dan sesungguhnya sangat besar pengorbanan mereka untuk kita. Doa saya agar roh mereka akan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Seketika sebelum melangkah keluar dari masjid besar ini hati saya berdetik, "Apakah yang akan saya tinggalkan untuk generasi akan datang? Adakah saya mampu meninggalkan "harta" yang sebegini hebat untuk generasi akan datang?" "Adakah saya juga akan dikenang oleh mereka?" Saya meneruskan perjalanan, walaupun kaki saya begitu berat untuk melangkah, walaupun hati saya sarat dengan pelbagai perasaan dan persoalan.
Pandangan dari luar Dewan Solat Utama ke bahagian dalam
Pandangan dari dalam Dewan Solat Utama ke bahagian luar