(Oleh Zaidah Ahmad Rosly)
"Kalau dahulu hanya mendengar nama, maka hari ini sudah bertentang mata", begitulah diibaratkan pertemuan saya dengan Xi'an. Inilah pertama kali saya menjejakkan kaki di bumi Xi'an, walaupun sudah lama mendengar nama Xi'an. Hasrat untuk melawat ke Xi'an juga sudah lama tersimpan, lebih-lebih lagi setelah mengetahui Xi'an adalah tempat bermulanya laluan darat Jalan Sutera.
Sebelum ini, saya hanya diberitahu oleh rakan-rakan yang pernah sampai di Xi'an ialah Xi'an sebuah kota lama di China dan Xi'an pernah menjadi ibu negara China bagi 13 dinasti sebelum dipindahkan ke Beijing. Maka, dalam kepala saya Xi'an hanyalah sebuah bandar lama. Walaupun begitu, saya tetap ingin melihat Xi'an dengan mata kepala saya sendiri dan merealisasikan impian saya. Saya ingin melihat "kemegahan" bandar lama tersebut. Cukuplah selama ini saya hanya membaca dan mendengar kisah mengenainya.
Apabila tiba sahaja di Xi'an, saya "tercari-cari" yang dikatakan bandar lama tersebut. Hendak dikatakan ada, tetapi tiada, hendak dikatakan tiada tetapi ada. Saya sedikit keliru pada mulanya. Ada juga perasaan hendak marah akan rakan-rakan saya kerana telah memberikan "maklumat yang salah" kepada saya mengenai Xi'an. Setelah berfikir-fikir, akhirnya saya sedar sendiri bahawa semasa mereka datang ke Xi'an, mungkin keadaan di Xi'an tidaklah seperti sekarang. Mungkin sudah tertulis rezeki saya menyertai Kembara Laluan Sutera 2015 untuk melihat Xi'an yang "baharu" dan pesat membangun. "Ah, inilah pertemuan pertama yang sungguh manis", bisik hati saya sambil tersenyum simpul. Untuk rakan-rakan saya yang pernah ke Xi'an, jangan risau, ya. Sekiranya ada kesempatan untuk bertemu, saya akan bercerita tentang Xi'an supaya anda dapat mengemas kini maklumat anda tentang Xi'an.