Kubu Jiayuguan dibina pada awal zaman Dinasti Ming, sekitar tahun 1372. Memang tembok di sini berbeza dengan yang di Shanhaiguan, terutamanya apabila dilihat bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaannya serta persekitaran di sekelilingnya.
Kubu Jiayuguan dilihat dari luar pintu selatannya
Di Jiayuguan, dinding dan tembok dibina dengan memampatkan tanah, di Shanhaiguan, bongkah batu yang digunakan. Di sini, kering sekali kerana sekitarnya pasir, di sana pula ada Laut Bohai. Perbezaan seperti ini menjadikan Tembok Besar lebih menakjubkan.
Tembok daripada tanah, padang pasir dan banjaran
Aku yakin, sekiranya kutelusuri belakang "naga" ini dari hujung ke hujung, banyak yang dapat kupelajari bukan sahaja tentang tembok yang menjadi pelindung dinasti-dinasti lalu China tetapi juga negara ini sendiri, baik sejarahnya mahupun perkembangannya pada zaman moden ini.