Dari Kuil Shangqing kami ke pelabuhan rakit pula. Memang bertuah dapat ikut rombongan ini, inilah kali pertama saya menaiki rakit buluh. Rakitnya kurus dan panjang, dan boleh membawa lapan orang penumpang. Jurumudiknya nampak kecil dan kurus saja, tapi jangan dipandang rendah, kulitnya yang saw matang itu jelas membuktikan yang dia sudah bertahun-tahun mengayuh rakit dibawah matahari terik.
Nak naik rakit mesti pakai jaket keselamatan
Rupa-rupanya mengayuh rakit juga ada cara dan alatnya. Tak boleh kayuh sesuka hati sahaja. Ada dayung dan galah yang panjang. Bila rakit sampai di tempat yang airnya dalam, jurumudik kayuh dengan dayung. Tapi bila airnya cetek dan dasarnya penuh batu, dia akan guna galah yang panjang pula.
Separuh perjalanan, ada rakit-rakit kecil menghampiri rakit kami. Rupanya-rupanya mereka ini menjual makanan dari rakit mereka. Menarik, buat saya teringat pasar terapung di Bangkok pula.
Sungai lebar. Tebingnya ada pantai yang penuh dengan batu-batu sungai. Dasar sungai ini juga banyak batu, mungkin sebab itu airnya bersih dan berwarna biru kehijauan.
Batu menggerutu bertemu air jernih
Di kiri kanan sungai ada gunung-gunung yang berdinding tegak. Inilah "naga" dan "harimau" yang kami nampak dari jauh tadi. Bentuk muka bumi gunung Longhu ini dipanggil Danxia. Gunung-gunung begini tak banyak yang ada di dunia ini, jadi memang bertuahlah kami dapat melihatnya dengan begini dekat. Permukaan Gunung Longhu ini menggerutu penuh dengan lubang, ada yang kecil dan ada yang begitu besar sehingga membentuk gua. Lubang-lubang ini terbentuk akibat hakisan dari air hujan, air sungai dan angin kencang yang memamahnya sejak zaman purba lagi.
Jurumudi kami
Rakit kami mendarat sekejap. Di situ kami dijamu dengan tauhu yang lazat. Sebenarnya tauhu ini serupa sekali dengan taufufah yang boleh didapati di Malaysia. Bezanya, taufufah itu kita makan dengan air gula, yang di sini dimakan sama ada dengan gula pasir ataupun sambal dan daun bawang.