Cari:
Farah: Perjalanan di Jiangxi (23 April 2011)
2011-04-24 09:17:23 CRI Cetak

Matahari sudah tinggi, kami pun berhenti untuk makan di bawah sebatang pokok tua di tebing sungai. Hari panas, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Seronok betul kalau dapat terjun masuk ke sungai.

Mungkin sebab kami kelewatan, dalam perjalanan seterusnya pemandu bas kami memandu dengan laju sekali. Jalan kampung kan tak berapa rata, ada tempat yang jalannya berombak-ombak. Si Melur yang kecil dan ringan itu asyik saja terlambung-lambung. Nasib baik kepalanya tak terhantuk pada apa-apa.


Sungai yang jernih dan berjeram

Tempat yang kami tuju itu namanya kampung kuno Yaoli. Yaoli itu betul-betul kampung yang terpencil. Sama seperti Likeng, ada sebatang sungai yang mengalir di tengah-tengahnya. Dalam sungai itu banyak ikan. Anak-anak muda bermain rakit. Orang tua membasuh beras untuk ditanak.

Kampung Yaoli ini sudah berusia lebih dua ribu tahun. Memang padan dengan gelaran "kampung kuno", rumah-rumah di Yaoli ini jelas menunjukkan usianya. Ada dinding yang sudah pecah, ada batu yang sudah longgar, ada tiang yang perlu bertopang. Jalan-jalan dan lorong-lorongnya sempit dan diperbuat daripada batu sungai.


Tempat penginapan di Yaoli

Walaupun ada sesetengah orang yang mungkin menggelar kampung-kampung sebegini mundur, tapi bagi saya kampung yang masih dapat mengekalkan ciri-ciri aslinya adalah kampung yang hebat.

Di Yaoli tidak ada pencemaran. Penduduknya ramah. Bunyi air sungai mengalir menyejukkan telinga. Suara anak-anak kecil bermain dan berkejar-kejaran di tepi sungai memecahkan kesunyian. Tak ada kerisauan langsung mereka yang tinggal di sini. Untuk seketika, saya juga berangan-angan untuk tinggal di sini.


Provinsi Jiangxi ini begitu hijau

Bas membawa kami ke tapak pembuatan barang-barang tembikar dan porselin. Ingatkan dapatlah saya cuba buat sebuah pasu atau mangkuk untuk dijadikan cenderamata, tapi sayangnya hari semakin lewat, kami pun tak dapat singgah lama-lama. Setakat lihat-lihat sahaja bagaimana proses mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan dalam menghasilkan tembikar atau porselin.

Dari situ kami terus ke tempat penginapan. Selepas makan malam, kami berkumpul di keliling unggun api dan bergilir-gilir buat persembahan. Wah, sedar tak sedar, sudah empat hari kami berada di provinsi Jiangxi ini ya? Rasa sayang pula nak tinggalkannya.


1 2 3 4 5
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China