Setelah puas menjelajah hutan, kami bertolak ke Jingdezhen, bandar yang diberi gelaran 'Kota Tembikar'. Jalan kampung memang sempit dan berombak-ombak. Bas asyik-asyik melambung.
Biru dan putih lambang Jingdezhen
Di kiri kanan jalan ada banyak rumah-rumah lama. Di halaman rumah hampir semuanya ada kebun sayur atau kebun teh. Sekali-sekala dapat lihat anak-anak kecil riang gembira membantu keluarga mereka memetik daun pokok teh. Hidup di sini memang jauh berbeza dengan kehidupan kita di kota.
Perjalanan ke bandar Jingdezhen tak lama. Belum sempat baca papan tanda pun saya sudah tahu yang kami sudah sampai ke Jingdezhen. Mentang-mentanglah 'Kota Tembikar', lampu jalan raya dan tong sampah pun diperbuat daripada porselin.
Mangkuk-mangkuk tersusun di bawah cahaya matahari
Pasu-pasu menunggu untuk dicorak
Kami dibawa melawat Tanur Kuno Jingdezhen. Di sini barang-barang tembikar masih lagi dibuat dengan tangan. Memang di Jingdezhen ada barang tembikar buatan mesin, yang ini lebih murah berbanding buatan tangan. Tetapi tembikar buatan tangan jauh lebih halus, lebih cantik, lebih seni. Kalau begitu padanlah dengan harganya.
Pemandu pelancong menerangkan proses membuat tembikar. Menurutnya, membuat tembikar memerlukan masa yang panjang. Dari mula sampai habis ada 72 langkah kesemuanya. Memang perlu kemahiran dan kesabaran yang luarbiasa. Kebanyakan tukang yang bekerja di tanur ini sudah berumur, mereka ini sudah berpuluh-puluh tahun membuat barang tembikar. Tangan mereka begitu cekap dan mata pula amat teliti.
Cik Siska dari Indonesia dan Cik Anoja dari Sri Lanka berpeluang mencuba membuat mangkuk tembikar. Hasil tangan mereka itu boleh tahan juga, cuma tak cukup bulat bentuknya. Memang perlu banyak latihan barulah boleh dapat mangkuk yang betul-betul bulat.