Barang tembikar Jingdezhen sudah lama terkenal di seluruh dunia. Nipisnya seperti kertas, kilatnya seperti kaca dan putihnya seperti batu jed, kata pemandu pelancong itulah ciri-ciri yang menjadikannya istimewa. Walaupun pada zaman sekarang barang tembikar dicorakkan berwarna-warni, kalau mengikut tradisi, warna biru kobalt sahaja yang digunakan. Ini menghasilkan barang tembikar biru putih yang sudah menjadi sinonim dengan nama Jingdezhen.
Kata pemandu pelancong lagi, air amat penting dalam penghasilan barang-barang tembikar, jadi air di Jingdezhen amat bersih. Malahan, air di sini boleh diminum terus dari paip.
Tukang yang mahir dan berpengalaman
Dari bengkel membuat barang tembikar, kami melihat pula tanurnya. Tanur itu dapur yang digunakan untuk membakar barang-barang tembikar. Bangunannya besar dan diperbuat daripada batu-bata beratap genting. Di bumbungnya ada serombong yang tinggi. Di luarnya pula longgokan kayu api. Tanur ini dalamnya gelap kerana tidak bertingkap.
Tukang sedang membuat pasu
Selesai melihat proses pembuatan barang tembikar, kami disajikan pula dengan persembahan orkestra yang cukup merdu. Alat muzik yang mereka guna itu bukan yang sembarangan ya, tapi diperbuat daripada tembikar. Bunyi yang dihasilkan lebih halus dan nyaring berbanding alat-alat muzik besi atau gangsa. Kami bertuah sebab dipersembahkan dengan lagu "Bunga Melur" yang begitu terkenal.