(oleh Md Radzi bin Mohd Ruslan, RTM)
Ni hao! Terasa cepat masa berlalu. Hari ini masuk hari yang keenam kami berada di negara China bagi penggambaran program dokumentari Galeri Nasional RTM 'Kembara Muslim di China 2012'. Tugasan yang diberi amatlah mencabar tetapi sangat menyeronokkan! Dengan jadual yang padat, masa yang singkat dan kadang kala terpaksa terkejar-kejar dan bermain dengan masa bagi menyiapkan setiap tugasan. Demi nama RTM dan Malaysia kami akan lakukan yang terbaik! Malaysia Boleh!
Bergambar bersama-sama dengan Tuan Haji Abu Bakar Sha Pengcheng, Pengerusi Dewan Perniagaan Syarikat-syarikat Islam Xi'an
Destinasi pertama kembara hari ialah ke Persatuan Perniagaan Muslim Xi'an. Lawatan ini bertujuan bagi mendapatkan informasi tentang perniagaan produk dan makanan halal yang dijalankan oleh Muslimin di Xi'an. Kami kemudian dibawa ke lokasi perniagaan yang dimaksudkan.Satu projek mega sedang dibina iaitu sebuah kompleks pasaraya yang menjual dan memasarkan produk halal dan yang terbesar di China. Sememangnya industri halal semakin berkembang pesat dan mempunyai potensi besar. Bagi pelancong Muslim yang ke Xi'an, anda jangan risau tentang makanan halal kerana terdapat banyak restoran yang menjual makanan dan produk halal di sini.