Cari:
Lawatan ke Perusahaan Seramik di Bandar Tangshan, Hebei
2013-07-09 15:54:59 CRI Cetak

(Sebahagian lagi produk perusahaan Tangshan Jiade Ceramics Co. Ltd., )

Selesai makan tengahari, kami dibawa berkunjung dan bersolat di Masjid Besar Tangshan. Masjid berkubah hijau ini menggamit kami untuk melihat persekitarannya yang telah dibina semula sepenuhnya pada tahun 1989. Asal masjid ini telah dibina pada tahun 1886, namun dalam tragedi gempa bumi besar tahun 1976, masjid ini turut musnah sama sekali. Ianya mengambil masa 13 tahun untuk dibina semula sepertimana yang ada masa sekarang. Sebahagian besar dana bagi memperbaiki semula masjid ini datangnya dari pihak kerajaan.

Menurut Penolong Imam Masjid yang sempat ditemui, iaitu En. Zhang Chun-Bu, terdapat 21 buah masjid di Bandar Tangshan ini. Penduduk Islam di bandar ini pula berjumlah lebih kurang 40,000 orang. Pada setiap hari Jumaat, biasanya terdapat seramai lebih kurang 200 orang turut serta menunaikan solat Jumaat. Kebanyakan penduduk Islam di bandar ini bekerja sebagai petani, buruh dan usahawan. Mereka berasal dari berbagai wilayah lain di China yang telah mulai datang berpindah ke bandar ini sejak zaman Dinanti Tang. Pada ketika itu, kebanyakan orang Islam yang berhijrah adalah merupakan pedagang yang datang untuk urusan jual beli dan akhirnya menetap di kawasan ini. Pada zaman Dinanti Yuan pula, sebahagian daripada orang-orang Islam yang dibawa oleh tentera Mongol dari Timur Tengah telah juga menetap di bandar ini. Justeru, keluarga Cina Muslim yang bermula nama keluarganya dengan nama `He' atau `Hong', dikatakan sebagai orang yang datangnya dari kawasan di luar bandar ini. Dengan itu, membentuk komuniti Islam yang kini berjumlah sekitar 40,000 orang.

(Masjid Besar Bandar Tangshan, Hebei)

Menurut Penolong Imam Masjid ini, aktiviti keagamaan amat berkurang diadakan di masjid ini. Ianya bergantung pada permintaan dan keperluan semasa. Sekiranya ada permintaan orang ramai untuk mengadakan kelas agama, maka pihak pengurusan masjid akan cuba mengusahakannya. Namun, biasanya permintaan yang sedemikian amat berkurangan. Inilah yang membimbangkan pihak pengurusan masjid kerana bilangan pengunjung ke masjid untuk beribadat dan menghadiri kelas agama amat berkurangan. Cabaran utama masa kini ialah bagaimana untuk menarik umat Islam khususnya golongan muda untuk datang ke masjid bagi bersolat dan melakukan aktiviti keagamaan yang lain. Pihak masjid bimbang keadaan ini akan semakin lama semakin terus merosot dan fungsi masjid akan semakin terhakis. Persoalan bagi mengembalikan minat dan perhatian umat Islam datang ke masjid merupakan cabaran utama buat masa ini. Keadaan ini menurut beliau lagi, adalah sebahagian daripada kesan keadaan sebelum ini yangmana pihak masjid kurang mengalu-alukan orang ramai untuk datang ke masjid. Mereka yang dikatakan terpilih sahaja untuk dibenarkan bersolat dan melibatkan diri dalam aktiviti di masjid. Mereka yang dilihat tidak Islamik, tidak dibenarkan memasuki kawasan kawasan. Ini menyebabkan semakin lama semakin berkurangan orang Islam yang ingin turut serta bersolat di masjid.

Akhir sekali, sebelum berangkat balik ke Beijing, kami dibawa melihat tinggalan bangunan lama yang merupakan kilang pertama di Bandar Tangshan. Kilang ini merupakan tempat memproses dan mengeluarkan batu-bata binaan yang telah dibina pada tahun 1889. Bangunan ini sudah tidak digunakan lagi, namun digazetkan oleh kerajaan China sebagai tinggalan sejarah untuk dikenang oleh generasi berikutnya. Bangunan ini dipelihara dengan baik dan dijadikan seperti muzium yang tersergam di tengah-tengah kerancakan pembangunan yang lain. Ini sebagai satu contoh bagaimana kerajaan China memelihara warisan sejarah nenek moyang mereka yang bernilai untuk ditatap oleh generasi yang baru. Tinggalan bersejarah bangunan lama dalam bentuk asalnya ini akan memberikan satu semangat dan kesan positif kepada generasi baru tentang perjuangan generasi terdahulu dalam membangunkan bandar ini. Perkara seumpama ini amat wajar kita jadikan teladan kerana sejarah adalah untuk kita mempelajari dan mendapatkan pengetahuan yang berguna. Daripada sejarah juga kita akan dapat banyak pengetahuan dan pengajaran untuk kehidupan masa kini serta akan datang.

(Bangunan lama (Asal) Kilang Batu Binaan sejak tahun 1889)


1 2 3 4 5
Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China