Hari ini masuk hari ketiga kami berada di Xinjiang. Semalam kami ke daerah Shihezhi. Hari ini kami akan dibawa ke kawasan pergunungan di Dong Da Tang. Kami mahu meregangkan otot yang keras supaya menjadi lebih lembut. Kenapa begitu, ya? Itu hanya sampingan sahaja. Yang sebenarnya, kami ke kawasan pergunungan Dong Da Tang untuk melihat kehidupan Etnik Kazak. Kebanyakan Etnik Kazak masih hidup di puncak gunung. Masih terdapat lagi mereka yang hidup secara nomad. Mereka masih berpindah-randah jika kawasan kediaman itu tidak lagi subur.
Dalam perjalanan ke kawasan pergunungan, kami melihat bukit-bukau dan batu-batan yang mengelilingi kami. Yang kelihatan hanyalah padang yang datar seolah-olah tiada penghuni. Namun demikian, tiba-tiba kami melihat adanya ladang yang dipenuhi dengan bunga matahari. Warna kuning di tengah hari dalam cuaca yang sangat panas, kami terpesona dengan keindahan bunga matahari yang sangat cantik. Bunga matahari banyak gunanya. Selain memberikan biji sebagai sejenis kekacang yang boleh dimakan, bunga ini juga boleh dijadikan minyak masak. Ladang yang luas ini benar-benar buat saya teruja dan sempat juga saya mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan.
Walaupun kelihatan seperti padang dan pergunungan, kami menemui dua buah tasik yang sangat cantik. Tidak sangka kawasan gunung dan berbatu batan seperti ini mempunyai tasik. Sungguh mengagumkan. Sangka saya kawasan ini seperti gurun, namun mempunyai tasik yang menjadi sumber air dan protein daripada ikan. Kami juga dapat melihat sekumpulan kambing biri-biri yang sangat tebal bulunya. Saya begitu teruja untuk melihat kehidupan Etnik Kazak. Selain kambing biri-biri, ada juga lembu yang diternak sebagai sumber daging untuk makanan dan sumber tenaga kerja membantu manusia.