Hari ini kami mahu pergi ke Padang Rumput Ba Yin Guo yang bermaksud "Padang Penggembalaan". Kami datang ke sini untuk melihat proses pembangunan yang dilakukan oleh pihak kerajaan China dan Kerajaan tempatan terhadap penggembala.
Kawasan perumahan terancang ini disediakan oleh kerajaan Xinjing. Setiap seorang penggembala diberikan sebuah rumah untuk penggembala menetap kekal di satu kawasan kediaman. Pihak kerajaan mahu penggembala menerima perubahan zaman dan tidak lagi hidup secara nomad atau berpindah randah.
Di kawasan perumahan ini disediakan kemudahan asas untuk memudahkan penggembala yang menetap di sini. Setiap rumah dilengkapi dengan bekalan elektrik, air paip, siaran televisyen (seperti Astro di Malaysia) percuma, sekolah untuk anak-anak penggembala dan masjid.
Masjid dibina kerana Etnik Kazak beragama Islam. Di kawasan perumahan ini terdapat 70 buah keluarga dan kira-kira 300 orang penganut beragama Islam di kawasan ini. Kami berkunjung ke rumah salah seorang Etnik Kazak, Ri Ba He Ti yang berusia 78 tahun tinggal bersama-sama isteri dan anak bongsunya. Beliau menjalani ibadah puasa dan masih sihat. Walaupun cuaca di Xinjiang panas dan waktu siang yang panjang iaitu 18 jam, namun Ri Ba He Ti tetap berpuasa.