Kemudian, kami mengunjungi sebuah lagi rumah Etnik Kazak. Kali ini rumah yang dihuni oleh lelaki muda yang baru berusia 27 tahun. Dia tinggal bersama-sama ibu bapanya. Ketika berada di sini, kami dihiburkan dengan nyanyian lagu bahasa Etnik Kazak sambil memetik tombula (seperti gambus jika di Malaysia). Suara lelaki ini sangat merdu dan memukau pendengaran semua orang yang berada di situ. Lelaki muda ini mempersembahkan dua buah lagu dan mendapat tepukan gemuruh daripada kami semua. Lelaki itu bukan sahaja pandai menyanyi tetapi pandai memetik tombula. Tombula ialah alat muzik tradisional. Setiap rumah Etnik Kazak mempunyai tombula. Sewaktu kami berkunjung ke rumah Ka De He Han (berbentuk khemah) Etnik Kazak di kawasan padang rumput Mukim Poer Tong Gu juga mempunyai tombula.
Walaupun rumah ini moden dan berbeza dengan rumah (yang seperti khemah) lama mereka, namun keluarga ini selesa dengan kehidupan baru mereka. Yang menariknya, mereka masih mengekalkan tradisi menghias rumah kerana lantai rumah moden ini masih dihiasi dengan karpet berwarna-warni, adanya ruangan untuk menjalankan kerja-kerja menyulam dan menjadikan rumah ini seperti rumah tradisional asal mereka. Selain itu, siaran televisyen disediakan dengan percuma dan warga emas ini diberikan pencen oleh kerajaan China.