Pada pagi tadi kami ke Taman Negara Geologi melihat gunung berapi kecil yang berlumpur. Selepas menempuh perjalanan hampir dua jam dengan melihat padang rumput yang luas, kami tiba di Taman Hutan Fo Shan. Kami dibawa menikmati udara segar dan pandangan mata yang memukau melihat hutan yang hijau dan bunga-bunga yang berwarna-warni. Saya amat sukakan bunga. Saya suka bunga yang berwarna-warni. Di rumah saya, ada pelbagai jenis bunga yang saya tanam. Ada bunga raya, bunga kebangsaan Malaysia, ada bunga melur, nama seperti pegawai Radio Antarabangsa China (CRI) yang menemani saya sepanjang tiga minggu berada di Xinjiang.
Taman Hutan Fo Shan kaya dengan pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan terutamanya bunga. Ketika musim luruh, di taman hutan ini akan dipenuhi dengan hampir 600 spesies bunga. Kami datang ke sini pada musim panas dan tidak banyak bunga yang berbunga pada ketika ini. Hanya ada beberapa jenis bunga sahaja yang berbunga dan berkembang cantik.