Saya juga menjumpai pokok yang boleh menggigit manusia. Kenapa saya berkata demikian? Pokok ini pernah saya temui ketika melawat ke padang rumput di Konti Shawan, Mukim Poer Tong Gu. Ketika kami turun dari sebuah bukit di belakang rumah Etnik Kazak, Puan Zainab, jurubahasa peserta dari Mesir, berjalan di tepi pokok tersebut dan tersentuhnya. Kakinya tiba-tiba berasa sakit. Sungguh pelik kerana tiada serangga pada pokok tersebut. Saya cuba melihat jika ada apa-apa pada pokok tersebut, dan menyentuhnya dengan jari telunjuk. Tiba-tiba terasa seperti terkena renjatan elektrik. Tangan saya juga berasa sangat sakit dan kebas. Rasanya juga seperti terkena jarum suntikan. Apabila melihat pada pokoknya, hanya seperti pokok biasa sahaja tetapi terdapatnya senjata yang tersembunyi. Ketika melawat Taman Hutan Fo Shan, saya sempat melihat nama spesies pokok ini. Namanya urticaceae atau nama saintifiknya urtica dioica. Sangat pelik tetapi itulah namanya. Sejak saya terkena seperti renjatan elektrik tempoh hari, saya sudah takut mahu menyentuhnya lagi. Apabila melihat pokok ini, saya akan menjauhkan diri saya dari pokok tersebut. Namun begitu, terdapat banyak pokok lain yang cantik dan indah. Ada pelbagai jenis bunga yang cantik. Ada yang berwarna kuning, oren, ungu, merah, putih dan pelbagai jenis bunga yang memukau pandangan mata. Semua jurugambar tidak melepaskan peluang merakam keindahan bunga di Taman Hutan Fo Shan.