Seusai bersarapan, peserta Xinjiang dalam Lensaku dibawa menemui Etnik Da Wo Er. Kami disambut dengan meriah oleh wakil etnik. Ketika tiba di kawasan tempat sembahyang, kami melihat banyak kanak-kanak comel yang sedang menunggu kedatangan kami. Sambil menyanyikan lagu tanda menyambut kedatangan kami. Kemudian kami dibawa ke sebuah bukit yang menempatkan sebuah tempat suci mereka memuja tuhan dalam amalan Etnik Da Wo Er.
Sebelum upacara dijalankan, terdapat kepala kambing, biskut, gula-gula, buah anggur, epal dan tomato dipersembahkan dan diletakkan di hadapan bukit kecil yang dijadikan tempat suci dan beribadat oleh etnik ini. Selain itu, arak juga dipersembahkan kepada tuhan mereka. Ketika upacara dijalankan, semua kanak-kanak comel mengelilingi bukit kecil. Ibu bapa turut sama-sama berdoa dan mengelilingi bukit kecil itu bersama-sama anak mereka. Datuk dan nenek tidak melepaskan peluang untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan cucu mereka. Kemudian pelbagai upacara diadakan oleh ahli agama etnik ini. Arak disimbah pada bukit kecil dan pelbagai doa dibaca memohon pertolongan dan perlindungan daripada tuhan mereka.