Cari:
Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Kukuhkan Hubungan China-ASEAN
2014-01-16 11:09:16 CRI Cetak

Xu Ningning

Simposium Analisis Situasi ASEAN 2014 anjuran Majlis Perniagaan China-ASEAN diadakan di Beijing pada 14 Januari lalu. Pegawai dari jabatan kerajaan dan sarjana dari institut pengajian berkenaan telah mengadakan perbincangan mengenai topik memperdalam kerjasama China-ASEAN, menggalakkan penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) dan integrasi ASEAN.

Para peserta berpendapat bahawa situasi di ASEAN kekal stabil pada tahun 2014, dengan pelbagai jenis peluang dan juga cabaran.

Komuniti ASEAN dijadualkan siap dibina menjelang 2015. Integrasi ASEAN telah memasuki fasa terakhirnya, maka tahun 2014 merupakan tahun yang penting bagi sepuluh negara ASEAN. Bekas Duta Besar China ke Vietnam, QI Jianguo berpendapat, kini proses integrasi ASEAN berjalan lancar, bagaimanapun, tetap berdepan beberapa kesukaran dan cabaran. Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi entiti ekonomi baru muncul di ASEAN semakin perlahan, kemungkinan berlakunya krisis kewangan tidak boleh diabaikan. Contohnya, sebaik sahaja AS mengeluarkan isyarat akan menghentikan pelaksanaan dasar pelonggaran kuantitatif (QE), nilai rupiah Indonesia jatuh merudum.

Ketua Eksekutif Majlis Perniagaan China-ASEAN, Xu Ningning berpendapat bahawa masih terdapat banyak peluang dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN, salah satu daripadanya ialah penaiktarafan CAFTA.

Merujuk topik ini, pegawai dari Jabatan Antarabangsa Kementerian Perdagangan China, puan Jiang Jiqing memaklumkan, rundingan mengenai penaiktarafan CAFTA kini sedang diadakan, banyak mekanisme baharu yang dibincangkan akan bermanfaat bagi menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN. China juga akan mempercepat pembentukan mekanisme penyelesaian perselisihan dan siri inisiatif yang menggalakkan liberalisasi ekonomi untuk memperlihatkan keikhlasan China. Menurut beliau, penaiktarafan CAFTA sebenarnya satu proses untuk terus meliberalisasikan kerjasama ekonomi bilateral.

Kini, China dan ASEAN sedang berusaha mewujudkan "dekad intan" kerjasama bilateral. Perdagangan, pelaburan, pelancongan, kewangan, pengangkutan, pertanian dan sumber tenaga akan menjadi bidang kunci bagi membentuk komuniti berkongsi nasib China-ASEAN. Menurut Penolong Ahli Penyelidik Institut Pengajian Asia Selatan dan Asia Tenggara, Institut Hubungan Antarabangsa Kontemporari China, Luo Yongkun, kerjasama ekonomi merupakan kaedah terbaik bagi terus memperkukuh hubungan rakan strategik China-ASEAN. Di samping itu, pembangunan Jalan Sutera Laut juga akan membantu meningkatkan kualiti kerjasama ekonomi bilateral.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China