Malaysia dan Vietnam semalam mengesahkan bahawa tiada sebarang benda dari pesawat MH370 ditemui di kawasan perairan berkenaan. Pada masa yang sama, kumpulan petugas kerajaan China yang terdiri daripada pegawai Kementerian Luar, Kementerian Keselamatan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam telah tiba di Malaysia bagi menangani isu kehilangan pesawat MH370.
Menyentuh tentang laporan media bahawa pihak Vietnam menemui benda yang disyaki jendela dan pintu pesawat, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menghubungi Vietnam berhubung perkara ini, yang menafikan penemuan berkenaan.
Naib Menteri Pengangkutan Vietnam, Pham Quy Tieu malam semalam di Pulau Phu Quoc berkata, pasukan pencari di udara dan laut masih belum menemui sebarang benda milik pesawat yang hilang itu. Kerajaan Vietnam telah mengesahkan kapal China, Malaysia, Singapura dan AS memasuki perairan berkenaan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Kini, 34 buah pesawat dan lebih 40 kapal terlibat dalam usaha pencarian di kawasan perairan tersebut.
Dilaporkan lagi, Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) menyatakan bahawa selain dua orang penumpang yang menggunakan pasport Itali dan Austria yang dicuri untuk menaiki pesawat itu, tiada penumpang lain yang didapati menggunakan pasport curi.