Cari:
Mencari Jejak-jejak Leluhur China di Laut China Selatan dalam Catatan Negara Asing
2016-05-06 16:45:53 CRI Cetak

Berdiri di pantai nan indah di Sanya, provinsi Hainan, China sambil memandang ke arah Laut China Selatan yang berwarna biru tua telah mewujudkan suasana yang begitu nyaman dan sentosa.

Oleh sebab beberapa buah negara telah menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai Laut China Selatan, maka keamanan di kawasan perairan tersebut telah terjejas. Leluhur orang China yang paling awal menetap di pulau-pulau sekitar Laut China Selatan pasti akan berasa marah sekiranya mereka mengetahui terdapat negara asing yang menuntut kedaulatan yang tidak sah terhadap kawasan perairan tersebut.

Fakta lebih penting berbanding dengan kata-kata. Sejumlah besar catatan sejarah dan dokumen telah membuktikan bahawa pulau-pulau di Laut China Selatan dimiliki oleh China sejak zaman dahulu.

Kali ini, mari kita mencari jejak-jejak leluhur China di Laut China Selatan melalui dokumen negara asing.

Mari kita mengkaji dokumen dari Eropah terlebih dahulu. Pada tahun 1868, Jabatan Tentera Laut Britain telah menerbitkan Panduan Laut China (China Sea Directory). Ketika menyebut Terumbu Cheng Ho di Kepulauan Nansha, dokumen itu telah bercerita tentang nelayan dari Hainan, China mencari siput dan timun laut di beberapa pulau di Laut China Selatan.

Terdapat juga nelayan-nelayan yang mendiami pulau-pulau tersebut. Buku Kemudi Laut China (China Sea Pilot) pindaan tahun 1912 telah mencatat rakyat China telah menjejakkan kaki di beberapa pulau di Laut China Selatan. Majalah Le Monde Colonial Illustre yang diterbitkan di Perancis pada tahun 1933 pula mencatat kapal perang Perancis ketika membuat penyelidikan di Pulau Nanwei di kawasan Kepulauan Nansha pada tahun 1930 telah menemukan tiga penduduk China di pulau tersebut.

Ketika Perancis menduduki pulau dan terumbu di Kepulauan Nansha, mereka telah menemukan penduduk Hainan, China di beberapa buah pulau. Nelayan Hainan menetap dan mencari rezeki di pulau-pulau tersebut. Kapal dagang menghantar makanan kepada mereka dan membawa balik daging penyu dan timun laut yang sudah kering pada masa yang sama saban tahun.

Mari kita melihat dokumen di negara-negara Asia pula. Pasukan Eksplorasi Okura Unosuke dari Jepun meninjau batuan fosfat di Kepulauan Nansha pada Disember 1918. Buku Pulau Ribut yang diterbitkan pada tahun 1940 telah merakamkan terdapat tiga nelayan menetap di Pulau Beizi, dan ketiga-tiga nelayan tersebut mempunyai kompas dan melukis peta Kepulauan Nansha serta menetapkan lokasi dan laluan ke pelbagai pulau.

Dokumen Keadaan di Kepulauan Nansha (yang disebut sebagai Kepulauan Xinnan oleh Jepun) telah menyebut, terdapat nelayan menanam ubi keledek di Pulau Zhongye, dan nelayan dari Republik China (RoC) menetap di pulau tersebut.

Mereka menanam pokok kelapa, betik, ubi keledek dan sayur-sayuran. Đại Nam nhất thống chí Vietnam mempunyai catatan yang terperinci tentang garis sempadan di Laut China Selatan. Menurut dokumen itu, pelayar dari dalam dan luar negara menganggap Pulau Cham, Nanang sebagai garis sempadan. Mereka akan mengambil bahan bakar dan air tawar ketika singgah di pulau tersebut.

Orang Arab yang belayar ke China pada zaman Dinasti Song (960-1279) ada membuat catatan tentang Kepulauan Nansha.

Menurut catatan Dokumentari Ketenteraan dan Pelayaran India Timur yang dihasilkan Christopher Fryke, pada abad ke-17, kapal Belanda telah belayar ke Filipina. Ketika berlabuh di Pulau Palawan, mereka dapat melihat wilayah China di sebelah kiri.

Terdapat begitu banyak dokumen asing, selain dokumen China yang membuktikan kedaulatan China terhadap Laut China Selatan. Namun, negara yang menafikan kebenaran ternyata tidak berasa segan-silu. Mereka menggunakan helah undang-undang maritim serta menolak kedaulatan dan kepentingan China terhadap Laut China Selatan. Negara-negara tersebut telah memburukkan situasi di Laut China Selatan.

Tindakan mereka diibaratkan tiada beban batu digalas.

Rakyat China mengikuti ajaran konfusius sejak zaman dahulu. Sikap baik hati, bersopan santun, beradat, yakin, reda, menghormati, berjimat, bijaksana dan bertolak ansur merupakan pegangan rakyat China. Walaupun menghadapi provokasi, namun China tetap menghadapinya dengan tenang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China